KERAJAAN LANTIK FIRMA LUAR SIASAT KES TANAH FELDA

PERDANA Menteri Najib Razak mengumumkan, satu firma audit luar telahpun dilantik untuk menyiasat “penipuan kewangan” berkaitan skandal tanah Felda.

Najib berkata firma itu dalam proses melaksana audit forensik ke atas projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) yang sedang dibangunkan oleh Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) atas tanah milik Felda.  

Katanya, beliau telah mengeluarkan arahan kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM) untuk melantik firma tersebut pada Disember lalu dan menjangka laporan akan disiapkan dalam masa sebulan.

“Firma audit ini akan menjalankan audit forensik ke atas semua aktiviti, keputusan dan tindakan berkaitan dengan projek ini.

“Ianya juga akan menilai semula proses pengawalan yang berkaitan, termasuk kelemahan dalam pentadbiran dalaman serta pengawasan Felda ke atas Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

“Siasatan firma audit ini juga akan membabitkan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” katanya dalam tulisan di blog najibrazak.com.

Najib berkata, beliau turut mengarahkan pihak berkuasa untuk memastikan tanah tersebut kekal menjadi milik Felda selepas lebih dua tahun transaksi tersebut dilaporkan berlangsung.

Beliau memberi jaminan bahawa pihak yang terbabit akan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya siasatan firma audit luar dan polis menemui sebarang bentuk salah laku.

“Pihak polis juga telah menjalankan siasatan dan tanah-tanah terlibat telah turut dikaveat. Oleh itu, laporan yang mengatakan tanah-tanah itu sudah hilang adalah tidak tepat.

“Kaveat Pendaftar yang telah dikenakan ke atas tanah-tanah itu akan memastikan kepentingan Felda dilindungi.

“Tindakan undang-undang akan diambil jika siasatan firma audit luar dan polis menunjukkan adanya salah laku oleh mereka yang terbabit dalam projek ini yang telah dipersetujui pada tahun 2014,” kata beliau.

Tambahnya, laporan audit forensik berkenaan akan dikemukakan kepada JPM apabila siap.

Sementara itu polis hari ini merakam kenyataan bekas pengerusi Felda, Isa Samad serta akan memanggil beberapa individu lain untuk siasatan kes pemindahan hak milik tanah berkenaan.

Tanah dianggarkan bernilai lebih RM270 juta itu dipindah milik kepada syarikat dikuasai Synergy Promenade yang beri surat wakil kuasa penuh untuk memajukan tanah berkenaan.

Pengerusi Felda Shahrir Abdul Samad dilaporkan berkata Felda bersedia mengambil segala bentuk tindakan bagi mendapatkan semula hak ke atas tanah agensi itu termasuk membuat laporan polis pada 12 Disember lalu.

Projek KLVC yang dianggarkan bernilai RM1 bilion itu melibatkan pembinaan tujuh menara, termasuk menara ikonik Felda.

Skandal tanah yang didedahkan pada Disember itu menutup tahun 2017 yang penuh dengan pelbagai isu melibatkan skandal pelaburan Felda.

– https://www.themalaysianinsight.com

.