KERAJAAN DIGESA UMUM TARIKH PRU DUA BULAN LEBIH AWAL

Bersih Shanghai menggesa kerajaan mengumumkan tarikh pilihan raya umum (PRU) ke-14 sekurang-kurangnya dua bulan lebih awal agar warga Malaysia yang tinggal di luar negara boleh merancang perjalanan mereka untuk pulang mengundi.

Gabungan NGO itu berkata, memandangkan kebanyakan warga yang tinggal di luar negara adalah pekerja atau pelajar sepenuh masa, mereka perlu membuat perancangan lebih awal selain dapat mengurangkan kos perjalanan.

“Bukan semua rakyat Malaysia di luar negara senang dari segi kewangan. Notis singkat bagi tarikh pilihan raya akan meningkat kos (untuk pulang mengundi),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bersih berkata, kerajaan harus mencontohi amalan di United Kingdom yang mengumumkan tarikh pilihan raya dua bulan lebih awal.

Bersih Shanghai ditubuhkan pada sejak himpunan Bersih 3.0 pada 2012, dan mengadakan kempen “Fly Back to Vote” pada PRU ke-13.

Selain itu, badan itu juga menyeru Malaysia Airlines dan Air Asia agar menawarkan harga khas bagi rakyat Malaysia yang mahu pulang untuk tujuan itu.

Badan itu menganggarkan sejumlah 20,000 warga Malaysia yang tinggal di China, dengan 8,000 daripada jumlah itu di Shanghai.

Walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperkenalkan undi pos buat pengundi di luar negara bermula PRU lalu, Bersih Shanghai berkata proses pengiraan undi dibuat secara tertutup dan tanpa pengawasan.

“Maka kami menggesa pengundi di luar negara tidak mendaftar sebagai pengundi pos, tetapi cuba bersungguh-sungguh untuk pulang,” kata kenyataan itu lagi.

– M’kini

.