KERAJAAN CAMPURAN: REALITINYA MEMANG BANYAK CABARAN

SHAH ALAM – Kebarangkalian wujud kerajaan campuran di negara ini agak samar. Demikian pandangan Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood.

Menurutnya, banyak pihak tertarik dengan cadangan membentuk kerajaan campuran kerana ini dianggap sebagai penyatuan orang-orang Islam dan penting untuk masa depan Melayu.

“Tapi realitinya banyak cabaran. Untuk Umno ia dalah sama ada dapat diterima oleh akar umbi atau tidak, begitu juga Pas.

“Faktor akar umbi amat penting kerana jika hendak mewujudkan kerajaan campuran, akar umbi perlu diyakinkan. Bagi Umno, apa pandangan komponen parti komponen Barisan Nasional. Adakah mereka setuju?,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.

Beliau berkata, ini kerana isu RUU 355 dilihat menjadi masalah bagi parti komponen BN, apatah lagi untuk membentuk kerajaan campuran.

Katanya, isu mengenai Umno dan Pas perlu berkompromi tentang dasar perjuangan mereka akan mendatangkan banyak kesukaran jika tiada tiada ‘give and take’.

Tambahnya, dalam politik apa-apa boleh terjadi, tapi isu akar umbi dan dasar parti adalah isu utama dan perlu diselesaikan dahulu.

“Tapi tidak mustahil akan wujud kefahaman yang membolehkan Pas dan Umno berbaik-baik untuk PRU14. Saya rasa ada usaha ke arah tersebut, namun saya tidak nampak akan terbentuk kerajaan campuran setakat ini,” katanya.

– M’kini

.