KERAJAAN AKAN BERTINDAK JIKA HARGA RON95, DIESEL LEBIH RM2.50

KERAJAAN akan campur tangan untuk mengurangkan kesan kenaikan harga minyak jika RON95 dan diesel melebihi RM2.50 seliter bagi tempoh lebih tiga bulan, kata Kementerian Kewangan.

“Ini bagi memastikan rakyat Malaysia tidak terlalu terbeban dengan kenaikan harga minyak, dan inflasi dapat dikawal,” katanya dalam satu kenyataan.

Harga minyak cecah paras tertinggi RM2.38 seliter untuk RON95, RM2.66 (RON97) dan RM2.25 untuk diesel minggu lalu.

Ia minggu kelima bagi kenaikan harga minyak.

Kementerian itu berkata kerajaan sedar kesan kenaikan harga minyak, dengan harga minyak dunia mencecah AS$60 (RM249) setong.

Menurut oilprice.com, minyak mentah pada harga AS$62.38 pada 6.30 petang hari ini.

“Harga jualan RON95 ditentukan selepas melihat kepada harga minyak mentah dan kadar tukaran wang.

“Mekanisme untuk menentukan harga minyak berdasarkan kepada purata harga mingguan, di mana purata minggu sebelumnya akan menentukan harga untuk minggu berikutnya,” kata kementerian.

Ia berkata kerajaan masih menyediakan subsidi bagi sektor pengangkutan awam, nelayan dan LPG untuk domestik atau gas memasak.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.