KERAGUAN TERHADAP TINDAKAN SPRM BERSIHKAN KERAJAAN NAJIB

Bagaimanakah penerimaan rakyat terhadap kegigihan tindakan SPRM untuk bersihkan kerajaan Najib dari rasuah, penyalahgunaan dan penyelewengan kuasa.

Adakah rakyat menerimanya secara negatif atau positif.

Tidakkah tindakan ini akan terbatas atau terhenti bila berlaku tekanan dari dalam parti UMNO sendiri yang melihatnya sebagai memburukkan lagi imej UMNO yang sudah pun teruk bila ia melibatkan pimpinan UMNO sendiri.

Tidakkah tindakan menahan dan menghadapkan ke mahkamah Exco Negeri Johor Datuk Abdul Latif Bandi Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri telah mendedahkan kemewahan hidupnya dan keluarganya memiliki kereta mewah, beg tangan berjenama mahal adalah menggambarkan style hidup ramai pemimpin-pemimpin UMNO yang lain?.

Tidakkah ini menyinggung perasaan Menteri Besar Johor, Datuk Mohd Khalid Noordin,menggelapkan lagi masa depan UMNO dan kerajaan BN di Johor.

Rakyat pada umum bergembira dan berbangga dengan tindakan tegas dan berani SPRM sejak akhir-akhir ini tanpa memilih bulu yang meliputi pegawai tinggi kerajaan,anggota polis,imigresen dan terkini terhadap anak seorang anggota Exco kerajaan negeri Johor dan disusuli dengan tindakan terhadap bapanya sendiri (Exco) .

Rakyat telah lama berpendapat bahawa jika tindakan basmi rasuah diambil terhadap orang kerajaan sendiri termasuk pemimpin parti, ia tidak akan memburukkan lagi imej kerajaan sebaliknya menampakkan keikhlasan pimpinan kerajaan untuk pembersihan.

Apakah ini merupakan arahan dari Datuk Seri Najib yang dilanda dengan berbagai tuduhan terhadapnya yang mahu membuktikan kepada rakyat beliau terpisah dari semua tuduhan itu dan berani kerana benar

Oleh kerana kegigihan tindakan basmi rasuah yang bertubi-tubi itu berlaku setelah kerajaan sendiri terpalit dengan berbagai prasangka buruk,maka persoalan timbul mengapa jerong-jerong besar masih bebas?.

Mengapa kes rasuah di Sabah yang beratus juta ringgit lewat siasatannya? mengapa kes 8 remaja mati dilanggar di pagi buta di Johor yang amat simple, hingga ini yang terlibat belum dihadapkan di mahkamah. Adakah SPRM tidak dapat menciumi prasangka rakyat dalam hal ini?.

Jika berterusan kelemahan-kelemahan yang menampakkan pilihkasih kepada rakyat, maka kebebasan SPRM akan terus dipersoalkan disebalik tangkapan yang bertalu-talu.

Lebih dari itu kita dapat menjangkakan tekanan dari dalam parti sendiri akan berlaku ke atas Datuk Seri Najib jika tindakan terus melibatkan orang parti sendiri.

Tindakan terhadap Exco Johor tentulah menampakan kelemahan kepimpinan kerajaan negeri Johor khususnya MB kerana hanya berlaku setelah SPRM mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.

Menteri Besar Johor jelas tersinggung dengan tindakan ini sehingga beliau enggan untuk mengulas.

Dengan kedudukan UMNO seluruh negara yang goyang sekarang dan masa depan BN yang belum pasti, adakah tindakan SPRM ini akan membantu memulihkan keyakinan rakyat kepada UMNO dan kepimpinan Najib atau ini merupakan tikaman dari belakang?.

Mungkin Najib berazam untuk tidak mempedulikan apa juga anggapan dan persepsi ramai terhadap dirinya sendirinya dan juga tekanan dari dalam parti untuk meyakinkan rakyat bahawa beliau terpisah dari rasuah dan benar-benar ikhlas mahu membangunkan semula kerajaan yang bersih,cekap dan amanah.

Bagaimanapun ini adalah uphill battle kerana beg tangan berjenama, kereta mewah, intan berlian dan kehidupan serba mewah adalah UMNO brand(branded UMNO) yang dilambangkan oleh pemimpin-pemimpin dan isteri-isteri serta keluarga mereka.

Jika rakyat tiba-tiba melihat kegigihan SPRM terhenti dan terkawal maka rakyat akan cepat kembali ke dalam keraguan terhadapnya kerana sebelum ini pegawai-pegawai SPRM yang dedikasi telah menjadi mangsa dari keghairahan mahu menegakkan kebenaran.

–¬†zamkata.blogspot.my

.