KEPUTUSAN JAMAL SEPINA DR MAHATHIR JUMAAT INI

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan hari Jumaat untuk menyampaikan keputusannya berhubung permohonan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mengketepikan sepina untuk memberi keterangan sebagai saksi dalam saman fitnah Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah terhadap Ketua Umno bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos

Hakim Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab menetapkan tarikh itu di kamarnya setelah mendengar permohonan dari peguam Dr Mahathir, Mohd Haniff Khatri Abdulla dan peguam V Mugunthan dan Mohd Nasser Desa yang mewakili Jamal.

Jamal mahu Dr Mahathir tampil sebagai saksi pembelaannya.

Haniff memberitahu pemberita kemudian bahawa Dr Mahathir bukannya saksi pakar dalam kes berkenaan dan beliau hairan bagaimana penampulannya dapat membantu perbicaraan itu.

“Tidak ada apa-apa di mana Tun (Dr Mahathir) boleh membantu. Beliau tidak boleh memberikan pendapat melainkan jika dirinya seorang pakar mengenai isu-isu yang mereka mahu tanya,” katanya.

“Kami berpendapat bahawa Dr Mahathir sebagai seorang negarawan veteran, tidak seharusnya membuang masa untuk perkara-perkara tidak penting.

‚ÄúLebih-lebih lagi, kami merasakan bahawa beliau tidak seharusnya digunakan untuk mensensasikan isu-isu yang dibangkitkan oleh Jamal,” katanya.

Pada 7 Okt 2016, Maria menyaman Jamal yang juga adalah Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu dan Gerakan Merah Malaysia (GMM) selaku defendan.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Maria, 61, selaku plaintif mendakwa pada 28 Sept 2016, Jamal telah mengeluarkan kata-kata fitnah dalam satu sidang media di perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra dan telah diterbitkan serta disiarkan di beberapa portal berita, media cetak nasional dan media elektronik.

Plaintif juga mendakwa pada 4 Okt 2016, Jamal sekali lagi mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya di perkarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan telah diterbitkan pada 5 Okt tahun sama di portal berita, media cetak nasional dan media elektronik.

– M’kini

.