‘KENYATAAN TAMBAK LAUT NAJIB MENGEJUTKAN’

Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Balik Pulau bahawa Putrajaya tidak akan meluluskan cadangan projek kerajaan negeri Pulau Pinang menambak bahagian selatan pulau itu sebagai mengejutkan, kata Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Lim mempersoalkan kenapa Najib memilih untuk mensasarkan Pulau Pinang bila mana kerajaan persekutuan meluluskan penambakan laut di negeri-negeri lain seperti Johor, Melaka dan paling baru di Kedah.

“Malah Kedah meneruskan projek tambakan lautnya tanpa kelulusan Jabatan Alam Sekitar (JAS) tetapi tiada tindakan diambil,” Lim memberitahu wartawan di Pulau Pinang.

“Cadangan tambakan laut Pulau Pinang masih diteliti pihak JAS, dan kami merasakan ia mesti dikendalikan secara teknikal bukan secara politik,” kata Lim.

“Dengan mengatakan beliau tidak akan meluluskan projek tersebut, PM hanya mahu memuaskan hati MP Balik Pulau dari Umno merangkap menteri kesihatan Datuk Hilmi Yahya.”

‘Tuang pasir dalam periuk nasi’

Semalam, Najib berkata projek tambakan laut itu tidak akan diluluskan jika ia ‘menuang pasir ke dalam periuk nasi’ kira-kira 1,500 orang nelayan di Balik Pulau.

Perdana Menteri menjawab isu yang dibangkitkan Hilmi semasa beliau berucap dalam acara pertemuan Najib dan masyarakat Balik Pulau.

Bagaimanapun, Najib menafikan terdapat motif politik sambil mendesak sesetengah pihak untuk tidak salah faham dengan keputusan kerajaan persekutuan terhadap projek negeri-negeri yang dikuasai pembangkang.

Beliau berkata sebarang projek yang mahu mendapatkan kelulusan Putrajaya mesti tidak memberi kesan buruk terhadap kehidupan rakyat dan perlu mesra alam sekitar.

Bagaimanapun, Lim menekankan kerajaan Pulau Pinang sangat prihatin dengan masyarakat perikanan dan akan memastikan pampasan setimpal diberikan kepada nelayan terbabit.

Beliau berkata kerajaan negeri akan memastikan kesan paling kecil terhadap kaedah perikanan para nelayan dan laut terbuka luas untuk operasi mereka.

Meskipun terdapat rancangan membina tiga buah pulau buatan di pesisir selatan pulau itu, Lim memberi jaminan bahawa cadangan kerja-kerja penambakan terhadap 4,500 ekar tanah itu tidak akan memberi kesan ke kawasan pantai seperti yang dilakukan di Johor.

Lim juga mendakwa pampasan kerajaan Pulau Pinang kepada masyarakat perikanan yang terkesan akibat projek tambakan itu memecah rekod dan lebih tinggi berbanding negeri lain.

Beliau berkata Pulau Pinang perlu menjalan kerja-kerja penambakan itu jadi laluan LRT boleh dibina untuk menghubungkan kawasan selatan dengan keseluruhan pulau itu.

“Najib telah berjanji untuk membina LRT di Pulau Pinang tetapi setelah lapan tahun, ia belum menjadi kenyataan, sebab itulah kami terpaksa merangka Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang,” dakwa Lim.

Projek tambakan laut ini merupakan sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang bernilai RM27 bilion untuk membolehkan keseluruhan pulau akan dapat dihubungkan dengan berbagai jenis pengangkutan.

Tanah tambakan laut itu akan dijual bagi tujuan komersil dan perumahan melalui tender terbuka. Manakala dana yang dikumpul daripada projek ini akan digunakan untuk Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang.

Kerajaan negeri telah melantik SRS Consortium sebagai rakan kongsi Project Delivery Partner (PDP) bagi menjadikan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang suatu kenyataan. Pelan induk itu termasuklah cadangan lebuh raya, sistem rel transit aliran ringan (LRT) dan berbagai pilihan pengangkutan awam lainnya.

– M’kini

.