KENYATAAN ‘SLOW LEARNER’ BUKTI KU NAN TAK IKHLAS BANTU RAKYAT – IZZAH

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menyelar kenyataan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mengaitkan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan istilah ‘slow learner’ dan berkata ia membuktikan menteri Umno itu tidak ikhlas membawa isu rakyat.

Nurul Izzah berkata, pembangkang selama ini sering dilabel sebagai anti-UiTM namun kenyataan Tengku Adnan itu akhirnya membuka pekungnya sendiri.

“Sekarang alhamdulillah, dia (Tengku Adnan) membuka pekung di dada.

“Ini menunjukkan dia tidak ada keikhlasan dalam memperjuangkan agenda pemerkasaan golongan tertindas termasuk bumiputera yang merupakan agenda utama UiTM dibangunkan,” katanya di parlimen hari ini.

Nurul Izzah sebelum itu ditanya mengenai kenyataan Tengku Adnan bahawa pelajar UiTM adalah ‘slow learner’.

Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata demikian semasa menyampaikan ucapan di PWTC pada 25 Nov lalu.

Sementara itu, Nurul Izzah berkata Tengku Adnan seharusnya lebih berhati-hati dalam berkata-kata.

“Saya tak mahu beri komen lanjutan, saya harap dia lebih prihatin dengan rakyat, jangan terlalu bongkak keluarkan kenyataan.

“Sepatutnya dia prihatin dengan kemelut yang melanda rakyat sama ada golongan gelandangan, miskin bandar, pelajar sekolah, atau yang terkini isu UiTM,” kata Nurul Izzah.

Tengku Adnan atau lebih dikenali sebagai Ku Nan sering mengeluarkan kenyataan yang mengundang kontroversi berkenaan sesuatu isu.

Pada 2014, beliau pernah mengulas berkenaan isu pengemis dan gelandangan di ibu negara yang menyebabkan kecaman daripada orang ramai.

Ku Nan ketika itu berkata pihaknya akan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) untuk mengeluarkan saman bersiri kepada pemberi sedekah di tepi jalan.

Setiausaha Agung Umno itu bagaimanapun telah memohon maaf dan menyifatkan kenyataannya disalah tafsir dan terdapat pihak tertentu yang sengaja melaga-lagakan beliau.

Tengku Adnan berkata dalam ucapan itu beliau hanya ingin tekankan mengenai jasa ditaburkan BN kepada rakyat terutama golongan muda sejak 60 tahun lalu.

– M’kini