KENAPA TUNGGU 3 BULAN BARU NAK BERTINDAK? UNTUK MODAL KEMPEN PILIHANRAYA KE?

Sebagai usaha menangani kenaikan harga minyak yang dijangka berterusan, kerajaan pada mulanya mahu mempertimbangkan kemungkinan menaikkan subsidi bagi bahan bakar itu.

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara.

Kita sedang mengkajinya, kata Zahid Hamidi pada Ahad lalu.

Bagaimanapun, mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara berkaitan perkara itu yang diadakan semalam (Isnin) telah membuat beberapa keputusan yang dilihat berbeza dan ada muslihat tersembunyi mengenainya.

Keputusannya ialah kerajaan akan mengambil langkah bersesuaian untuk mengurangkan kenaikannya jika harga petrol Ron95 serta diesel melebihi kadar RM2.50 seliter dan ia berlaku secara berterusan selama tiga bulan.

Mengapa perlu menunggu harganya  mencecah RM2.50 seliter baru mahu bertindak?

Apakah harga RM2.38 seliter seperti sekarang dan mungkin kadarnya akan naik lagi pada Rabu nanti, masih lagi dianggap tidak membebankan rakyat oleh kerajaan?

Apakah kerajaan sebenarnya tidak cukup wang untuk menampung subsidi minyak yang tujuannya untuk memberi keselesaan kepada rakyat dalam menjalani kehidupan seharian sehingga perlu menunggu kadarnya menjadi RM2.50 seliter untuk berbuat demikian?

Kenapa juga perlu ditunggu kenaikan berterusan selama tiga bulan sebelum kerajaan mengambil langkah-langkah perlu?

Bagaimana jika dalam tempoh sebulan saja daripada sekarang harga minyak sudah menaik sehingga RM2.70 seliter?

Ini juga secara langsung memberi gambaran bahawa jika harga petrol mengalami turun naik yang tidak menentu dan harganya berlegar-legar di sekitar RM2.49 hingga RM2.55 atau RM2.60 seliter selama tiga bulan  mendatang, bermakna tiada apa-apa tindakan dari segi pengembalian subsidi akan dilakukan oleh kerajaan.

Keadaan itu, jika berlaku, masih dianggap tidak melebihi kadar RM2.50 seliter serta tidak juga ditafsirkan telah mengalami kenaikan yang berterusan selama tiga bulan.

Kalau trend kenaikan harga minyak dunia berterusan pada minggu-minggu seterusnya dan pada setiap Rabu mulai minggu ini pula kerajaan dijangka mengumumkan peningkatan harga antara 5 hingga 10 sen lagi seliter, apa perlu ditunggu sehingga tiga bulan lagi untuk menurunkan harganya melalui penambahan subsidi?

Sekarang adalah penghujung November, tiga bulan lagi bermakna ketika itu ialah akhir Februari tahun depan

Apa ada pada akhir Februari 2018 nanti?

Oleh hujung tahun ini diramalkan banjir besar melanda beberapa negeri, bulan Mac hingga Mei tahun depan iaitu sebelum ketibaan Ramadan adalah jangkamasa yang dijangka PRU 14 yang akan diadakan.

Bermakna, jika kenaikan harga minyak berterusan sehingga tiga bulan  akan datang dan kerajaan mula menurunkan harganya pada hujung Februari nanti dengan cara menambah jumlah subsidi, tindakan yang dilihat menunjukkan keprihatinan terhadap beban hidup rakyat itu adalah bersamaan dengan detik-detik menjelang tibanya tarikh pilihanraya.

Tidakkah ini bermakna kerajaan secara sengaja mendera rakyat selama tiga bulan terlebih dahulu sebelum berpura-pura menjadi baik dan prihatin semata-mata untuk mendapatkan undi dan demi kepentingan Najib mengekalkan kuasa?

Jika kerajaan benar-benar ikhlas dan prihatin kepada kesusahan rakyat, mengapa tidak penambahan subsidi dilakukan secara serta-merta dan biar saja rakyat menikmat harga minyak sekitar RM1.80 atau RM1.90 sen seliter bagi Ron95 dan diesel, tanpa menunggu tempoh tiga bulan yang menyeksakan untuk mereka lalui terlebih dahulu?

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.