KENAPA TIDAK TERUS TUBUH SURUHANJAYA DIRAJA?

Banyak persoalan timbul di sebalik keputusan kabinet semalam mahu menubuhkan sebuah pasukan petugas khas untuk menyiasat kerugian urusniaga forex pada awal tahun 1990-an yang melibatkan Bank Negara Malaysia.

Kenapa ditubuhkan pasukan pasukan petugas khas dan tidak terus menubuhkan Suruhanjaya Diraja?

Bukankah jika serius ingin mencari kebenaran, Suruhanjaya Diraja adalah langkah yang terbaik?

Untuk pasukan petugas khas forex ini, berapa lama pula ia akan menjalankan kerjanya sebelum mengemukakan cadangan-cadangan tertentu kepada kerajaan?

Selepas cadangan dikemukakan, apa pula tindakan kerajaan selepas itu?

Adakah kerajaan akan bertindak sebagaimana yang dicadangkan atau mendiamkan saja cadangan-cadangan tersebut?

Masih ingatkan kita mengenai pasukan petugas khas yang ditubuhkan berkaitan 1MDB sebelum ini?

Apa jadi akhirnya kepada pasukan petugas khas itu?

Selain yang kita dengar hanya penghantar surat yang berjaya ditahan, pasukan khas itu akhirnya dibubarkan begitu saja tanpa sebarang hasilnya.

Dalam pada itu, kenapa hal berkaitan forex saja yang Najib mahu siasat dan tubuhkan pasukan petugas khas?

Kenapa tidak dengan BMF sekali?

Lebih telus dan tulus jika penyiasatan turut dijalankan sekali berkaitan 1MDB dan apa jadi, setelah sekian lama masa berlalu, kepada hasil siasatan polis berhubung 1MDB sebagaimana yang disyorkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negara atau PAC?

Bilakah siasatan polis itu akan berakhir dan keputusannya akan diumumkan?

Menubuhkan pasukan petugas khas, sedangkan sepatutnya Suruhanjaya Diraja, tidak lain adalah satu lagi sandiwara Najib menjelang PRU 14 akan datang.

Selain ingin menunjukkan kepada rakyat tentang keinginan mencari kebenaran kononnya, menubuhkan pasukan petugas khas juga dapat melengahkan kebenaran sebenar yang ingin dicari itu sambil dapat mengaburi rakyat terhadap isu-isu lain yang lebih besar sementara ketibaan tarikh pilihanraya diadakan.

Sebagai pemimpin yang selalu mendakwa berjiwa rakyat dan mendengar denyut nadi rakyat, Najib seharusnya dapat merasakan bahawa yang benar-benar rakyat ingin ketahui kebenaran ketika ini ialah berkaitan 1MDB serta hal-hal lain yang bersangkutan dengannya.

Sebagaimana pasukan petugas khas 1MDB akhirnya lenyap entah ke mana, pasukan petugas khas forex ini juga tidak akan ke mana-mana akhirnya.

Ia sekadar satu lagi pembikinan pentas sandiwara sebelum pilihanraya di mana Najib adalah produsernya dan kemudian akan diperbesar-besarkan untuk kepentingan politik menyerang dan melemahkan Tun Mahathir semata-mata.

Yang nyata, Najib masih tercari-cari rentak sebelum mengadakan pilihanraya dan tidak mustahil pencarian itu akan berterusan sehingga penghujung tempoh iaitu Mei 2018.

Jika Najib begitu yakin untuk menang PRU 14, beliau pasti tidak berlengah-lengah lagi untuk bila-bila masa membubarkan Parlimen.

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.