KENAPA TAKUT TUNJUK KEMEWAHAN, KATA NAZRI AZIZ KEPADA MUKHRIZ

MUKHRIZ Mahathir tidak patut takut dengan pendedahan kemewahan anaknya oleh dua akhbar pro kerajaan kelmarin, jika ia datang daripada sumber yang halal, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno Mohamed Nazri Aziz.

Nazri berkata masyarakat berhak tahu bagaimana anak cucu bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad boleh hidup mewah.

“Kita pun nak tahu dari mana datangnya kekayaan ini. Saya dah tanya Dr Mahathir banyak kali dah bagaimana anak-anak dia boleh kaya… bukan pandai meniaga pun.

“Jadi, kalau dah jadi ‘public figure’ maka orang berhak untuk tahulah dari mana datangnya kekayaan itu.

“Jadi, jangan berpura-puralah kalau nak tunjuk perjuangkan orang yang susah.

“Apa salahnya tunjukkan kemewahan dia, asalkan sumbernya halal.

“Dalam agama juga tidak menyalahkan umatnya mencari kekayaan. Cuma sumbernya saja kita kena tahu.

“Kenapa, takut ke?” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu mengulas kenyataan Muhriz yang menyifatkan etika kewartawanan akhbar pro Umno jatuh ke tahap paling rendah apabila pandangan peribadi seseorang dijadikan berita.

Mingguan Malaysia dan BH Ahad kelmarin memaparkan gaya hidup anak perempuan timbalan presiden Bersatu itu, Meera Alyana Mukhriz, yang disertakan dengan gambarnya mengenakan pakaian pereka terkenal dan melancong ke seluruh dunia dengan kapal layar mewah.

Mukhriz berkata laporan terbabit tidak sepatutnya disiarkan kerana tiada kaitan antara gambar berkenaan dengan dana haram atau skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Nazri menambah Mukhriz tidak sepatutnya bersikap ‘double standard’ kepada media massa yang membuat pendedahan berkenaan.

“Kalau media bukan mainstream, boleh? Dedahkan kemewahan pegawai kerajaan, menteri-menteri, boleh? Kalau bukan mainstream, boleh?

“Jangan ‘double standard’,” kata Nazri lagi.

Artikel yang disiarkan dua akhbar berkenaan berdasarkan posting Facebook di bawah akaun “Sudahlah Mahathir”.

Akhbar mingguan pro-Umno itu berkata, Meera yang juga dikenali sebagai Ally, melancong mengelilingi dunia menggunakan kapal mewah yang dinamakan sempena namanya. Mingguan Malaysia turut mendakwa kapal berkenaan merupakan pemberian bapanya.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.