KENAPA SEKALI LAGI POLIS JUGA YANG BATALKAN DEBAT TUN M – NAZRI?

Situasi 1 – Debat antara Tun Mahathir Mohamad dengan Nazri Aziz yang sepatutnya diadakan di MRSM Kuala Kangsar pada 25 Mac lalu dibatalkan kerana tidak mendapat permit polis.

Polis memberi alasan faktor keselamatan dan ketenteraman awam mengapa permit tidak diluluskan, meskipun kapasiti dewan hanya boleh memuatkan 800 orang.

Apakah 800 orang yang datang dengan hanya telefon pintar di tangan begitu sukar dikawal?

Selain itu, polis juga memberi alasan kerana ada lapan laporan polis yang dibuat oleh NGO membantah debat tersebut.

Ironinya, surat pembatalan oleh pihak polis itu dikeluarkan setelah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi sendiri memberi lampu hijau dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur Jazlan Mohamed pula mengatakan, debat itu akan dibenarkan untuk diadakan.

Selapis pandang, ia seolah-olah Zahid Hamidi dan Nur Jazlan tiada kuasa atau cengkaman terhadap polis sehingga IPD Kuala Kangsar dilihat lebih besar kuasanya atau boleh jadi mereka menerima arahan daipada pihak lain yang lebih ditakuti.

Pembatalan itu membuatkan Nazri melenting dan marah serta mengingatkan pihak polis bahawa Malaysia adalah negara demokrasi, bukan negara polis.

Lanjutan itu, dengan kerjasama Sinar Harian serta persetujuan Tun Mahathir dan Nazri, mereka setuju debat atau wacana dipindah-tempatkan ke Auditorium Sinar Harian, di Shah Alam.

Tarikh yang dipersetujui ialah 7 April, jam 9.30 malam.

Memandanngkan Sinar Harian sudah menganjurkan debat dan wacana sebanyak 44 kali sebelum ini dan kawasan itu pula merupakan milik persendirian, berdasarkan Akta Perhimpunan Aman, tiada permit polis diperlukan.

Yang disyaratkan sekadar pemakluman kepada pihak polis sekurang-kurangnya 10 hari sebelum sesuatu program hendak diadakan.

Perkara tersebut ditekankan sendiri oleh Nazri dengan berkata, “saya tahu tentang Akta Perhimpunan Aman sebab saya yang membentangkannya di Parlimen.”

Lantaran itu, sebenarnya tiada sebab debat di Shah Alam boleh dibatalkan.

Situasi 2 – Menjelang debat yang dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat pada 7 April itu, semua persiapan dan pemakluman telah pun dilakukan oleh pihak penganjur iaitu Sinar Harian.

Walaupun banyak pihak tetap ada keraguan sama ada Najib Razak masih mahu membenarkan Nazri berdebat dengan Tun Mahathir, lebih-lebih lagi kerana lawan debatnya itu merupakan musuh nombor satu Perdana Menteri, selain topik perdebatan iaitu antaranya 1MDB dan wang RM2,600 juta tentunya meresahkan fikiran mereka yang tinggal di Seri Perdana, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu tetap tidak luntur semangatnya.

Berbanding Tun Mahathir yang mengatakan sudah lama bersedia untuk berdebat berkaitan tajuk-tajuk tersebut dengan sesiapa saja, Nazri pula memberi jaminan bahawa beliau tidak akan duduk diam saja dalam debat itu nanti sepertimana diamnya dia ketika menikmati cendol dan laksa di Dataran Sungai Perak sebelum itu.

Pada 31 Mac, pihak penganjur memaklumkan mereka sudah menerima surat daripada Polis Shah Alam yang memberi kebenaran debat itu dilangsungkan.

Beberapa syarat biasa turut ditetapkan, selain kehadiran penonton hanya dihadkan kepada 300 orang saja – 100 jemputan Tun Mahathir, 100 jemputan Nazri dan 100 lagi jemputan penganjur iaitu Sinar Harian.

Tidak sampai 24 jam kemudian, penganjur sekali lagi menerima surat daripada Polis Shah Alam yang menyatakan debat itu tidak dibenar untuk diadakan.

Alasannya juga kerada faktor keselamatan dan ketenteraman awam, disamping kononnya ada bantahan penduduk setempat.

Jika dulu, pembatalannya dilihat pelik kerana seperti membelakangkan Menteri dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, kali ini rupa-rupanya kelulusan hanya diberi dalam tempoh sehari saja. 31hb Mac lulus, 1 April batal. Boleh dicatat sebagai sejarah barangkali.

Bagaimana ada bantahan penduduk juga agak menghairankan kerana pejabat Sinar Harian itu adalah kawasan penempatan kilang, lagi pula mereka sudah menganjurkan debat atau wacana sebanyak 44 kali sebelum ini.

Jika kali ini dianggap gangguan, bagaimana debat dan wacana sebelum ini boleh dibenarkan?

Kawan-kawan yang mulut agak jahat pula menyindir, di Kuala Kangsar kehadiran 800 dianggap mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam, rupa-rupanya 300 orang di Shah Alam juga dikira sudah bahaya kepada pihak polis.

Dalam kedua-dua situasi pembatalan itu, kuasa polis atas pertimbangan keselamatan dan ketenteraman awam telah dijadikan sandaran untuk menidakkan debat daripada menjadi kenyataan.

Kali pertama, pembatalan dilakukan setelah Menteri dan Timbalan Menteri sendiri memberi lampu hijau dan kebenaran, manakala kali kedua, surat pembatalan menyusul hanya sehari selepas kelulusan diberikan sedangkan debat diadakan di kawasan persendirian dan telah mematuhi syarat-syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman.

Apa gambarannya?

Pertama, terlihat seolah-olah Zahid Hamidi tiada kuasa serta kawalan kepada bidang tugas yang seharusnya beliau mempunyai peranan dan kedua, kalau pun beliau cuba menunjuk seperti ada kuasa, ada orang lain boleh memangkah kuasanya itu pada bila-bila masa.

Jelas bahawa Zahid secara halus sedang dipamerkan sebagai tidak cukup wibawa dan kekuatan, di sebalik orangramai juga memahami yang benar-benar takut debat menjadi kenyataan ialah Najib sendiri.

Lantaran itu, berapa lama lagi Zahid rasanya boleh berada di tempatnya sekarang sebelum beliau diganti dengan pilihan yang betul-betul menyenangkan hati Perdana Menteri?

http://shahbudindotcom.blogspot.com

.