KENAPA SAMPAI JADI BEGINI?

KENAPA SAMPAI JADI BEGINI?

Kes 1
Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda atau ANAK dan bekas AJK Pas Pusat, Mazlan Aliman diisytiharkan muflis setelah gagal membayar gantirugi sebanyak RM500 ribu berikutan kalah dalam saman yang difailkan oleh Felda terhadapnya.
Pada 20 Julai 2009, Felda telah memfailkan saman terhadap Mazlan dan Angkatan Edaran Sdn Bhd kerana kandungan sebuah buku “Felda…Dulu Tolong Sekarang Ah Long” yang dianggap memfitnah agensi tersebut.
Disebabkan gagal membayar gantirugi itu, Felda akhirnya telah memfailkan prosiding kebankrapan terhadap Mazlan.
Ketika menerbitkan buku tersebut, Mazlan adalah Presiden ANAK dan AJK Pas Pusat, tetapi kemudian membuat keputusan menyertai Amanah.
Di sebalik Amanah yang kini bertindak melancarkan tabung untuk membantu Mazlan, persoalan yang timbul ialah di mana usaha Pas untuk membantu beliau?
Apakah Pas seolah-olah sudah lupa bahawa selama berpuluh tahun sebelum ini, Mazlan berjuang bersama parti itu dan sumbangannya dalam menarik sokongan masyarakat Felda kepada Pas tentulah juga bukan sedikit?
Tidak terdetikkah di hati pemimpin-pemimpin Pas, setidak-tidaknya atas nama persaudaraan Islam, untuk turut sama membantu Mazlan, walaupun beliau kini sudah bersama Amanah?
Kes 2
Selepas PRU 2013, Za’aba Ibrahim, bekas Exco Pemuda Pas Johor telah bersetuju agar namanya digunakan oleh parti itu sebagai plaintif dalam petisyen untuk mencabar keputusan pilihanraya bagi kawasan Parlimen Pulai.
Beliau ketika itu bersetuju namanya digunakan kerana Pas turut bersetuju untuk menanggung semua kos dalam petisyen tersebut.
Namun, pada Januari 2014, Mahkamah Rayuan telah menolak petisyen itu dan Za’aba diarahkan untuk membayar kos guaman sebanyak RM50 ribu dan tarikh akhirnya untuk membuat pembayaran ialah pada 17 Januari 2017.
Kegagalan membayar denda itu menyebabkan Za’aba kini berdepan dengan kemungkinan untuk diisytiharkan muflis.
Yang menjadi masalah sekarang ialah Pas enggan bertanggungjawab terhadap kos yang terpaksa dibayar oleh Za’aba itu hanya kerana beliau bukan lagi ahli Pas, sebaliknya sudah menyertai Amanah.
Pesuruhjaya Pas Johor, Dr, Mahfodz Mohamed mengesahkan bahawa Pas tidak akan membantu Za’aba kerana beliau bukan lagi ahli parti itu.
Dia tidak lagi ahli Pas, jadi mengapa kita perlu bantu beliau? Jika dia masih ahli Pas, kita akan bantunya, kata Dr Mahfodz lagi.
Soalnya, adil dan wajarkah sikap Pas itu?
Apakah Pas tidak sedar bahawa Za’aba bersetuju namanya digunakan adalah kerana taat kepada parti itu dan ketika petisyennya ditolak pada 2014 juga, beliau masih lagi merupakan ahli Pas?
Dalam kedua-dua kes, di mana keadilannya?

Kenapa kedua-dua mereka diperlakukan sebegini rupa dan apakah Pas sebagai parti yang berjuang atas nama Islam, tiada langsung sifat belas dan timbang rasa kepada mereka?

– http://shahbudindotcom.blogspot.my/