KENAPA PAS MACAM TOLAK PELUANG MENANG?

Pertama kali Rasulullah SAW membawa ajaran Islam, masyarakat tidak memahami apa sebenarnya yang ingin dicapai oleh baginda.

Mereka menyangka Rasulullah menyebarkan Islam untuk mendapatkan pengaruh dan kedudukann dalam masyarakat, lalu mereka menawarkan jawatan raja kepada baginda.

Baginda menolaknya.

Mereka turut menyangka baginda menyebarkan Islam untuk mendapat habuan dunia, lalu mereka menawarkan kepada baginda timbunan harta sehingga baginda menjadi orang yang paling kaya di Mekah.

Baginda menolaknya.

Mereka menyangka baginda menyebarkan Islam untuk mendapatkan wanita yang cantik, menarik lalu mereka menawarkan wanita yang cantik.

Baginda menolaknya.

Ada orang silap dengan menganggap perjuangan PAS ialah perjuangan mendapatkan kekuasaan semata-mata seperti mereka.

Lalu mereka menuduh harta benda dan habuan dunia telah menjadikan pandangan PAS ‘buta’ sehingga tidak lagi nampak apa yang mereka nampak.

Buka pintu kerjasama

Oleh itu, mereka akan berasa hairan apabila PAS dilihat menolak peluang kemenangan di hadapan mata.

Mereka binggung PAS tidak berkelakuan seperti mereka. Mereka tidak faham mengapa PAS sanggup bersedia berisiko kalah demi mempertahankan dasar parti.

Mereka tidak boleh terima cara PAS yang terus menentang sebarang bentuk kemungkaran dan sedia menyokong kebaikan dan takwa dalam apa jua keadaan tanpa mengira siapa.

Hakikatnya, PAS adalah parti yang paling awal menentang kebatilan, kezaliman dan salah urus tadbir negera.

PAS menyertai pilihan raya sejak pertama kali ia diadakan.

Perjuangan PAS bukan membuta tuli terhadap realiti masyarakat majmuk di Malaysia.

PAS sedia bekerjasama dengan mempertahankan prinsip dan dasar Islam yang menjadi denyut nadi perjuangan kami.

PAS sentiasa mencari jalan terbaik untuk kemenangan Islam bagi membolehkan Islam terlaksana dalam urus tadbir. Asalkan Islam sampai ke destinasi.

Lantaran itu, PAS sentiasa bersedia membuka pintu bekerjasama dengan pelbagai parti yang menerima dasar Islam yang kami bawa. PAS sudah serik bersama parti hanya rasa penting untuk bersama bila perlu, dan menyerang PAS selepas itu.

Begitulah prinsip PAS. PAS akan terus kekal dengan dasar dan prinsip ini.

Sumbangan penoreh, nelayan

Walaupun beberapa kali PAS dibuli apabila menyambut salam kerjasama, PAS tidak pernah kesal dengan keputusan yang telah diambil kerana semua keputusan parti dibuat melalui perbincangan, muktamar dan panduan Majlis Syura.

Di sepanjang perjuangan ini, PAS kehilangan rakan seperjuangan, rakan politik, markas, PASTI (Pusat Asuhan Tunas Islam) dan pelbagai harta yang diwaqafkan oleh ahli dan penyokong kami.

PAS sedih dengan apa yang berlaku kerana PAS sedar ia datang daripada duit simpanan ahli kami yang miskin, penoreh getah, nelayan dan golongan susah. Namun untuk PAS korbankan prinsip perjuangannya, tidak mungkin.

PAS akan terus berkembang, menghijau dan mengeluarkan bunga dan buah. PAS akan terus mendidik masyarakat memahami politik Islam.

Ia suatu sistem politik yang jauh bezanya dengan pelbagai aliran politik yang diimport dari barat, yang tidak berpaksi kepada aqidah.

Politik Islam berteraskan perubahan dengan menghapuskan syirik kepada tauhid, mungkar kepada taat, maksiat kepada soleh, perubahan masyarakat bagi membina negara sejahtera dan harmoni, menikmati nilai persamaan dan menghormati nilai perbezaan.

Itu perjuangan PAS dan ahli-ahli parti akan terus memastikan pimpinan dan bahtera ini terus belayar mengikut arah ini sehingga hari kemenangan Islam dicapai.

DATUK TUAN IBRAHIM TUAN MAN ialah timbalan presiden PAS.

– M’kini

.