KENAPA PAKAI ORANG PENCEN JUGA? ADAKAH PEMIMPIN2 UMNO SELANGOR SEDIA ADA TAK CUKUP WIBAWA?

UMNO Selangor, seperti yang disebut oleh Noh Omar semalam, akan menggabungkan tenaga tiga bekas Menteri Besar dalam usaha merampas kembali negeri itu pada pilihanraya umum akan datang ini.

Tiga bekas Menteri Besar itu iaitu Muhammad Mohd Taib, Abu Hassan Omar dan Khir Toyo akan berganding bahu bersama Noh sendiri selaku Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor bagi tujuan tersebut.

Nampaknya tidak cukup dengan Mat Taib yang diraikan kemasukan semulanya ke dalam UMNO baru-baru ini, Abu Hassan Omar dan Khir Toyo yang mungkin sedang selesa dengan dunia persaraan mereka juga cuba dikejutkan untuk kembali aktif menolong UMNO.

Kenapa UMNO Selangor masih menggunakan tenaga orang pencen untuk menawan semula Selangor?

Bukankah Najib Razak sebelum ini pernah menempelak Tun Mahathir Mohamad sebagai pemimpin pencen yang patut bersara dan tidak seharusnya campurtangan lagi dalam urusan negara?

Tidakkah lebih memalukan, berbanding Tun Mahathir yang melakukannya kerana kesedaran sendiri berikutan terlalu banyak  kepincangan serta kerosakan dalam negara, tetapi sebaliknya UMNO Selangor yang membangkitkan ketiga-tiga pemimpin pencen itu untuk kembali aktif?

Adakah dengan ini bermakna pemimpin UMNO Selangor sedia ada, termasuk  Jamal Md Yunus yang selalu tampil dengan gimik entah apa-apa, diakui sudah layu dan tidak berdaya lagi untuk merampas Selangor daripada genggaman Pakatan Harapan?

Kesiannya….

Selain itu, mampukah kemunculan tiga bekas Menteri Besar tersebut menyerlahkan sinar harapan untuk UMNO dan BN menawan kembali Selangor?

Apa lagi aura dan pengaruh yang mereka ada?

Tidakkah UMNO dan BN lupa bahawa ketiga-tiga pemimpin tersebut ada skandal tersendiri ketika berkuasa dahulu yang mungkin membuatkan rakyat makin menolak penglibatan mereka?

Tidak perlu disebut semula apakah skandal-skandal mereka itu, tetapi sesiapa yang berhajat dan ingin mengetahuinya bolehlah menggunakan bantuan google bagi tujuan itu.

Hakikatnya, tidak seperti Tun Mahathir yang bukan saja masih beraura dan berpengaruh di kalangan rakyat, ketiga-tiga bekas Menteri Besar itu ada rekod buruk tersendiri yang menyebabkan sama ada mereka meletakkan jawatan atau kecundang ditolak rakyat ketika mengetuai UMNO dan BN negeri dahulu.

Pengundi Selangor tidak mungkin lupa mengenainya.

Lebih dari itu,  Khir Toyo dalam luahan hatinya sebaik melangkah ke penjara ada menyebut tentang pemimpin UMNO Selangor yang sanggup menyewa helikopter untuk mengambil gambar rumahnya bagi memperlihatkan kediamannya itu sebesar istana.

Siapakah pemimpin berkenaan?

Kenapa baru sekarang Khir Toyo bersama dua lagi bekas Menteri Besar itu mahu digunakan?

Silalah meninggal….kata seorang pemimpin UMNO bahagian di Selangor ketika ditanya  sama ada tiga bekas bekas Menteri Besar itu bersama Noh Omar mampu menawan kembali Selangor atau tidak dalam pilihanraya umum akan datang ini.

Hmmmmm…..

– http://shahbudindotcom.blogspot.my/

.