KENAPA MCA SIBUK RUU355 WALAUPUN TIADA KAITAN

SHAH ALAM – Perkasa menempelak Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai kerana kenyataannya bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tiada hak menyenaraikan larangan kepada Jabatan Imigresen Malaysia kecuali hal-hal yang berkaitan dengan hal-ehwal orang Islam.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, jika itu yang disuarakan, mengapa MCA terlalu sibuk menentang RUU355 yang tiada kena mengena dengan orang bukan Islam.

“Ini pemimpin ‘double standard’ yang nampak kuman seberang laut dan amat tidak bijak.

“Memang menjadi tanggungjawab Jakim kerana Islam adalah Agama Persekutuan dan apa jua aktiviti atau tindakan mana-mana kumpulan atau individu yang boleh menjejaskan keharmonian serta sensitif kepada majoriti rakyat yang beragama Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, usah berlagak dan sebagai menteri, beliau patut hormat agensi kerajaan yang semuanya dibawah tanggungjawab perdana menteri dan kabinet.

Katanya, diharap beliau (Tiong Lai) berfikir dahulu sebelum buka mulut dan buat kenyataan.

“Jangan kerana mahu cari untung politik, tidak ada adab untuk menghormati Islam Agama Persekutuan,” katanya.

Hari ini, sebuah portal tempatan melaporkan kenyataan presiden MCA terbabit yang bertajuk MCA: ‘Imigresen tak perlu rujuk Jakim untuk senarai larangan’.

Difahamkan, Tiong Lai mengulas tentang kenyataan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Mustafar Ali bahawa imigresen telah menerima maklumat daripada polis dan Jakim mengenai individu yang seharusnya diharamkan daripada menghadiri acara ‘White Party Bangkok’ yang sepatutnya dijadualkan pada 30 setember ini.

– http://www.sinarharian.com.my

.