KENAPA BN DULU TIDAK ROBOH KILANG HARAM, SOAL GUAN ENG

KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng terus menyalahkan Barisan Nasional (BN) berhubung kewujudan banyak kilang haram di negeri itu.

Sambil menolak kritikan pendekatannya menyelesaikan isu itu, Lim berkata isu kilang haram dan strukturnya adalah isu yang diwarisi dari kerajaan BN sebelum ini.

“Dilema kami adalah mewarisi situasi kilang haram ini. Ia bukan mudah tapi kami memilih penyelesaian yang berperikemanusiaan yang mengambil masa untuk diselesaikan.

“Jika BN tidak bersetuju, jadi jelaskan mengapa kamu gagal meruntuhnya sewaktu mereka berkuasa pada 2008,” katanya dalam satu kenyataan.

Setiausaha Agung DAP juga mendesak supaya BN mengisytihar sokongan mereka terhadap pendekatan pentadbirannya atau meruntuhkan semua stuktur haram di negeri itu.

Sebelum ini, beliau berkata polisi kerajaan negeri mencari penyelesaian secara baik terhadap pemilik kilang haram dan meruntuhkannya adalah jalan terakhir.

Namun tidak jelas apa yang diperlukan atau berapa lama pihak berkuasa memutuskan perobohan jika ia tindakan yang wajar.

– Malay Mail

.