Kenapa Azmin tolak PRN mengejut?

SEKIRANYA Dun Selangor tidak segera dibubarkan dalam masa terdekat, dijangkakan kerajaan negeri Pakatan Harapan sukar mengekalkan tampuk pemerintahan negeri dalam PRU akan datang.

Kerajaan negeri Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dipercayai akan menghadapi laluan lebih sukar pada PRU14, lebih-lebih lagi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan peta pilihan raya baharu seperti yang dicadangkan dalam persempadanan semula ketika ini.

Melalui analisa berita yang ditulis oleh Hu Yi Dao dalam Kwong Hwa Yit Poh, ada kalangan orang politik meramalkan PKR demi ingin mengekal kuasa, parti itu sedia bekerjasama dengan Pas dan mengetepikan prinsip untuk tidak lagi bersama dengan Amanah dan DAP.

Cadangan Penasihat DAP, Lim Kit Siang agar kerajaan Pakatan Harapan di Selangor membubarkan Dun lebih awal ditolak Mohamed Azmin dengan alasan tidak mahu mengkhianati mandat yang diberikan rakyat tetap menjadi tanda tanya.

Menurut Yi Dao, beliau tidak faham bagaimana ketika Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mencadangkan untuk mengadakan pilihan raya mengejut di Pulau Pinang, PKR turut menunjukkan nada yang sama iaitu tidak setuju cadangan daripada rakan komponennya itu.

“PKR telah menerajui kerajaan negeri Selangor selama lapan tahun. Jadi tidak ada sebab parti itu tidak bersedia menghadapi PRN lebih awal?

“PKR adalah parti pelbagai kaum yang diterajui kaum Melayu. Bahkan, menteri besar adalah Melayu dan ditambahkan dengan tiga exco Melayu serta ada ramai lagi ahli majlis daerah yang terdiri daripada Melayu.

“Jadi apa yang harus dibimbangi PKR? Apakah selama ini tidak menjaga pengundi Melayu, dan hanya harapkan sokongan daripada pengundi bukan Melayu sahaja?” soal penulis ini.

Tiong Lai dakwa Umno salah faham

Umno tidak sepatutnya membuat anggapan pengundi Cina tidak akan menyokong BN pada PRU akan datang hanya berdasarkan keputusan PRU lalu semata-mata.

Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, beliau yakin pengundi Cina akan menyokong penuh BN setelah mendapati parti pembangkang tidak dapat menunaikan janji-janji mereka selama ini.

“Semua pemimpin pembangkang hanya mementingkan agenda mereka masing-masing. Parti pembangkang kini telah berpecah kepada lima parti. Masyarakat Cina tidak menaruh keyakinan terhadap barisan parti seperti ini,” katanya kepada Sin Chew Jit Poh.

Mengenai isu persempadanan semula, MCA kata Tiong Lai akan terus mengumpulkan semua pandangan daripada pemimpin-pemimpin parti daripada peringkat negeri dan daerah mengenai cadangan tersebut sebelum mengkaji secara lebih mendalam.

“Peta persempadanan semula yang dicadangkan SPR telah memperlihatkan polarisasi kaum yang serius, MCA berpendapat ia bakal menjejaskan keharmonian yang diwujudkan antara kaum di negara kita. Oleh itu, MCA akan cuba memperbetulkan keadaan ini demi masa depan negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama,” katanya.

Ola Bola tayang di China

Filem yang mengisahkan kejayaan pasukan bola sepak negara layak ke sukan Olimpik 80, ‘Ola Bola’ kini ditayangkan di Xian, China dan bakal menerima sambutan menggalakkan oleh peminat filem China di sana, lapor GuangMing Daily.

‘Ola Bola’ selain dapat menemui penonton di China, ia turut menerima anugerah sebagai filem terbaik antara filem-filem terbitan negara-negara Asean yang diumumkan baru-baru ini.

Pengarah filem tersebut, Chiu Keng Guan juga dilaporkan akan mengadakan kerjasama dengan pengarah-pengarah filem China bagi menghasilkan filem yang lebih bermutu dan bertaraf antarabangsa.

Keng Guan bersama beberapa pelakon Malaysia kini berada di Xian untuk menyertai festival filem bersama dengan tenaga kerja dunia perfileman dari negara-negara Asean.

Sepanjang penganjuran minggu perfileman itu, Keng Guan berpeluang memperkenalkan filem-filem terbitan Malaysia kepada peserta-peserta luar yang rata-ratanya amat berminat dengan tema filem-filem Malaysa yang berlatarbelakangkan masyarakat pelbagai kaum dan agama. – Sinar Harian

.