KENAPA 11 RAKYAT MALAYSIA DI KOREA UTARA TIDAK DIKELUARKAN LEBIH AWAL?

Ketika krisis diplomatik antara Malaysia dengan Korea Utara kian memuncak sekarang ini, keprihatinan semua pihak ialah tentang nasib 11 rakyat kita yang bagai dijadikan tebusan di negara komunis tersebut.

Ia berikutan Korea Utara mengeluarkan sekatan kepada rakyat Malaysia daripada meninggalkan negara tersebut sebagai jaminan kepada keselamatan petugas kedutaan mereka di negara ini susulan pengusiran dutanya, Kang Chol oleh Wisma Putra.

Pyongyang juga kemudian bertindak mengusir Duta Malaysia di Korea Utara, Mohamad Nizan Mohamad, tetapi beliau sudah pun dipanggil pulang oleh Wisma Putra sejak 22 Februari lalu.

Dilaporkan terdapat 11 rakyat Malaysia, termasuk ahli keluarga kakitangan kedutaan berada di Pyongyang ketika ini.

Sebagai balasan kepada tindakan Korea Utara itu, Najib Razak juga mengeluarkan arahan yang sama iaitu tiada rakyat Korea Utara dibenarkan meninggalkan Malaysia. Sebelum itu, Zahid Hamidi mengeluarkan arahan kakitangan kedutaan Korea Utara tidak dibenarkan meninggalkan negara ini.

Walaupun sehingga ini 11 rakyat Malaysia itu dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan tidak sebagai tebusan dalam ertikata yang sebenarnya, malah masih bebas untuk bertugas dan keluar ke mana-mana, tetapi tentunya semua orang juga sedar bahawa pelbagai kemungkinan boleh berlaku di Korea Utama kerana sikap pemerintahnya yang diketahui sangat keras dan tidak berperikemanusiaan.

Secara kebetulan pula angka 11 yang merujuk kepada jumlah rakyat Malaysia di Korea Utara itu adalah angka kegemaran Najib sendiri dan ia sekaligus menimbulkan pelbagai tafsiran yang lain berkaitan masa depan Perdana Menteri.

Apa nasib 11 rakyat Malaysia itu terus menjadi tanda-tanya dan kerisauan kepada sesiapa pun jua sehinggalah krisis diplomatik ini dapat segera diselesaikan.

Melihat kepada apa yang terjadi ini, ia segera mengingatkan saya akan pertemuan bersama beberapa rakan bloggger dan ahli politik dengan bekas Duta Malaysia ke Kanada, Datuk Dennis Ignatius pada 1 Mac lalu di Petaling Jaya.

Meskipun tajuk perbincangan dalam pertemuan itu ialah mengenai pelaburan China di Malaysia dan kesan-kesannya kepada masa depan negara, tetapi beliau turut juga menyentuh mengenai apa yang sedang berlaku dalam hubungan dengan Korea Utara selepas terjadinya pembunuhan Kim Jong-Nam di KLIA 2, 13 Februari lalu.

Antara kata-kata Datuk Dennis yang masih saya ingat ialah beliau mengatakan, sebelum apa-apa langkah diplomatik mahu diambil oleh kerajaan, Malaysia seharusnya membawa keluar terlebih dahulu semua rakyat kita yang berada di Korea Utara.

Kata beliau, adalah merbahaya membiarkan rakyat Malaysia terus berada di Korea Utara dalam keadaan hubungan diplomatik menjadi tidak menentu dan sukar dijangka.

Maka sekarang ini saya turut tertanya-tanya, mengapa hanya Duta Besar saja dipanggil pulang oleh Wisma Putra, tetapi kakitangan kedutaan, ahli keluarga dan rakyat Malaysia yang lain terus dibiarkan berada di Korea Utara?

Apakah apabila Malaysia mahu bertindak mengusir duta, melarang kakitangan kedutaan dan warga Korea Utara meninggalkan negara ini, mereka tidak memikirkan nasib 11 rakyat Malaysia di Pyongyang itu?

Meskipun pelbagai cadangan dan idea disarankan oleh pelbagai pihak untuk menyelesaikan krisis diplomatik itu, termasuk antaranya dengan meminta agar kerajaan menyerahkan saja mayat Kim Jong-Nam kepada kedutaan Korea Utara sebagaimana yang diminta, membenarkan bedah siasat kedua dengan kehadiran pihak berkuasa Korea Utara atau melantik orang tengah seperti China dan Russia, hakikatnya penyelesaian adalah lebih mudah jika semua rakyat Malaysia telah selamat dibawa pulang sejak awal lagi.

Bagaimanapun, yang berlaku telah pun berlaku dan kita tetap mengharapkan krisis ini dapat diselesaikan dengan baik dan paling penting 11 warganegara Malaysia itu dapat diselamatkan dengan segera.

Tidak berbaloi sama-sekali jika akhirnya terjadi sesuatu yang tidak diingini kepada 11 nyawa yang tidak berdosa itu.

ShahbudinHusin

.