KEMPEN BOIKOT PRU14 UNTUNGKAN BN, KATA PENGANALISIS

MEDIA sosial kini menjadi platform untuk kempen pilihan raya yang lain – kempen yang menggesa pengundi untuk memulaukan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) atau merosakkan undi sebagai menyatakan bantahan.

Tukang kempen anti PRU14 ini memulakan wacana dan menyebarkan mesej dengan tanda pagar #UndiRosak atau #SpoiltVote, dan #ProtesPRU atay GEProtest.

Kempen ini umumnya bertolak daripada keputusan Pakatan Harapan (PH) menamakan pengerusinya Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri, serta alasan-alasan lain termasuk apa gunanya mengundi dalam pilihan raya yang “kotor”.

Walaupun pemerhati politik yakin majoriti pengundi tidak termakan dengan kempen anti PRU14 ini, sentimen seperti itu boleh membantu Barisan Nasional (BN) kekal berkuasa.

Sebuah laman baru di Facebook yang diberi nama “Undi Rosak” baru-baru ini memuat naik kenyataan berikut: “Rakyat yang sangat muak dengan politik BN dan PH, memang mempunyai hak untuk tidak mengundi atau hak untuk undi rosak.”

Seorang pengguna Twitter yang menggunakan nama @Amir9110 menulis begini:

Kamu yang ajar aku untuk membenci Mahathir,kamu yang ajar aku siapa yang bagi projek Berbilion2 utk kroni.. Kamu yang ajar aku siapa yang kayakan anak2nya, sekarang kamu nak suruh aku sokongya.. Tidak Sama sekali

“Kumpulan seperti ini menolak politik. Mereka ini golongan kiri, anarkis dan agresif.

“Pada peringkat makro, mereka tidak akan dapat menyakinkan pengundi untuk menyokong kempen mereka kerana mereka tidak menawarkan apa-apa yang konkrit atau kukuh,” kata penganalisis politik, Hisommudin Bakar.

Sentimen ini “tidak berasas”, walaupun kuat emosinya, kerana tidak menjawab isu-isu yang dihadapi oleh rakyat dengan penyelesaian yang konkrit, tambahnya.

Hisommudin, yang membuat kajian pengundi di lapangan, percaya tukang kempen anti PRU14 ini mungkin dapat meyakinkan kelompok pengundi atas pagar, yang beliau sifatkan sebagai “celik politik” walaupun tidak menyertai mana-mana parti.

“Semua yang mereka (kumpulan anti PRU14) ini katakan berdasarkan emosi dan sentimen. Mereka tiada jawapan kepada isu-isu rakyat, kepada keperluan dan harapan rakyat.

“Misalnya, mereka tolak Dr Mahathir tetapi apa kaitannya itu dengan dasar-dasar yang memberi kesan kepada rakyat? Bolehkah mereka buat tidak kisah kalau Perdana Menteri Najib Razak kekal berkuasa untuk satu penggal lagi?”

Hisommudin berkata persoalan yang ada pada pengundi ialah apakah mereka akan membazirkan undi dengan membantah atau menggunakan peluang mengundi untuk menyokong parti yang memberikan mereka harapan.

“Ini kempen yang tiada asas. Pengundi yang rasional dan objektif, yang akan menilai pihak mana yang akan mereka berikan mandat, tidak akan membazirkan undi dengan membuat protes,” katanya.

Undi rosak rendah

Pilihan raya umum di Malaysia secara tradisinya mencatatkan jumlah undi rosak yang kecil dan ini tidak akan menjadikan kempen anti PRU14 berjaya, kata Hisommudin.

Sejak pilihan raya umum pertama pada 1959 sampailah kepada yang terakhir pada 2013, jumlah undi rosak kurang 5% daripada keseluruhan undi yang terkumpul.

Yang paling rendah ialah 1.11% pada 1959 sementara yang paling tinggi 5.3% pada 1969 dan 4.65% pada 1974. Kali terakhir jumlah undi rosak tinggi ialah pada 2004 iaitu 4%.

Hisommudin ragu media sosial mampu melonjakkan kempen memulau itu.

“Di Indonesia ada golongan putih atau dipanggil golput, pengundi yang menyerahkan kertas undi kosong. Kempen golput ini menyasarkan pengundi yang berpelajaran.

“Mereka mula berkempen sejak 1955 dan peratusan pengundi yang tidak mengundi atau merosakkan undi tinggi, cecah 27% beberapa tahun lalu,” kata pengarah eksekutif Ilham Centre itu.

“Tetapi di Malaysia, yang sedang menuju ke arah sistem dua parti antara BN dan PH, mereka yang memilih tidak mengundi atau merosakkan undi akan terpinggir daripada mereka yang memilih BN atau PH.”

Tolong BN

Namun sekiranya kumpulan ini berjaya, Dr Wong Chin Huat pula berkata kempen undi rosak ini akan memperkuatkan sistem pilihan raya sedia ada, dan bukan memperbaikinya.

“Kalau 51% undi rosak manakala 25% mengundi A dan 24% mengundi B, A masih akan mewakili semua pengundi.

“Saya rasa kita patut ubah sistem untuk menjadikannya lebih berperwakilan, tetapi merosakkan undi hanya akan mengukuhkan sistem yang ada,” kata penganalisis politik dari Institut Pulau Pinang itu.

Jelas beliau, di sesetengah negara, kertas undinya ada pilihan “bukan yang di atas” atau “tolak semua (calon)”, dan sekiranya pilihan itu yang paling banyak, pilihan raya yang baru perlu diadakan dengan memajukan calon-calon yang baru.

“Dalam sistem yang sedemikian, menolak semua calon yang dikemukakan boleh memberi manfaat,” kata Wong, yang turut menolak sistem wajib undi.

Memilih berkecuali atau merosakkan undi juga hampir pasti akan menyerahkan mandat kepada BN dan parti pemerintah yang hilang majoriti dua pertiga sejak dua pilihan raya umum yang lalu ada peluang cerah untuk mendapatkannya majoriti besar itu semula.

Wong mengingatkan BN kekal jadi kerajaan persekutuan pada 2013 dengan 47% jumlah undi keseluruhan. Dengan persempadanan semula dan pertembungan tiga penjuru, BN boleh menang kembali majoriti dua pertiga itu, biarpun dengan undi yang lebih kurang.

“Kalau BN berjaya, ia boleh menambah lebih banyak kerusi di Dewan Rakyat dan dengan satu lagi pusingan persempadanan semula yang perlu dilakukan dalam masa dua tahun, kita boleh jangkakan gerrymander dan salah pembahagian yang lebih teruk.

“Tetapi ini boleh dielak dengan jumlah pengundi yang tinggi yang mengundi menolak persempadanan sebelah pihak.

“Kalau pengundi memilih untuk berkecuali atau merosakkan undi, mereka secara tidak langsung menolong Najib dapat majoriti dua pertiga. Memanglah itu hak demokrasi mereka,” katanya.

Dr Wong Chin Huat berkata tindakan merosakkan undi hanya akan menyerahkan mandat kepada Barisan Nasional dan memberi peluang cerah kepadanya mendapatkannya majoriti besar semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Januari, 2018.
Dr Wong Chin Huat berkata tindakan merosakkan undi hanya akan menyerahkan mandat kepada Barisan Nasional dan memberi peluang cerah kepadanya mendapatkannya majoriti besar semula. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Januari, 2018.

Merugikan orang lain

Masjaliza Hamzah, pengarah eksekutif Watan, sebuah kumpulan aktivis tidak memihak yang membuat kempen kesedaran mengundi dalam kalangan anak muda, juga tidak melihat kesan besar kempen anti PRU14 ini.

Namun, katanya kempen itu perlu dipantau kerana ia mungkin perlahan-lahan akan meraih sokongan kerana setakat ini belum tahu bila sebenarnya pilihan raya akan diadakan.

Jelas beliau, walaupun kekecewaan kelompok ini dapat difahami, memulaukan pilihan raya akan merugikan semua pihak.

“Mengundi ini bukan main-main, tetapi tanggungjawab sivik. Undi akan menentukan parti yang akan jadi kerajaan dan dasar-dasarnya, dan kita mahu pemimpin dan kerajaan yang diberikan mandat selari dengan kehendak rakyat.

“Jumlah pengundi keluar mengundi yang tinggi akan menunjukkan demokrasi yang sihat,” katanya.

Adalah lebih baik usaha dibuat untuk memberi tekanan kepada parti politik untuk menampilkan manifesto dan dasar yang menguntungkan golongan yang memerlukan dalam masyarakat, daripada berkempen untuk memulaukan pilihan raya, tambah Masjaliza.

“Sedih rasanya pada 2018, masih ada orang, yang tidak perlu berjuang untuk mendapatkan hak mengundi, menyuruh orang supaya memboikot pilihan raya,” katanya.

Beliau merujuk pada perjuangan wanita dan etnik Afrika Amerika yang dinafikan hak mereka untuk mengundi.

Katanya, parti politik dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepatutnya ambil peduli akan rasa tidak puas hati yang ditunjukkan oleh tukang kempen anti PRU14 dan penyokongnya, dan memikirkan cara yang tidak menghukum untuk mengatasi isu yang dibangkitkan.

“Tanya ke akar umbi kenapa mereka mahu boikot dan fikirkan cara terbaik untuk menarik anak muda melihat politik sebagai sesuatu yang relevan dengan mereka,” katanya.

Watan, jelas Masjaliza, akan terus berkempen memberi penekanan tentang tanggungjawab mengundi serta menggalakkan rakyat mendaftar sebagai pengundi, walaupun di luar musim pilihan raya.

Katanya, fasa kedua kempen Watan ialah menggalakkan pengundi berdaftar keluar mengundi.

Watan menganjurkan acara untuk menambah jumlah pengundi berdaftar termasuk melibatkan selebriti dalam kempennya seperti Marina Mahathir, Daphne Iking dan Remy Ishak, namun kempen itu tidak begitu mendapat sambutan.

SPR minggu ini mengatakan ada 3.6 juta rakyat Malaysia berumur lebih daripada 21 tahun yang layak mengundi setakat September 2017 masih belum berdaftar sebagai pengundi.

Daftar Pemilih sehingga suku ketiga tahun lalu menunjukkan ada 14.8 juta pengundi di negara ini, dengan 212,042 pengundi baru berdaftar pada suku keempat.

– https://www.themalaysianinsight.com

.