KEMENTERIAN PENDIDIKAN LINDUNGI GURU JIKA DISAMAN IBU BAPA – MAHDZIR

MACHANG – Kementerian Pendidikan memberi jaminan akan melindungi guru jika mereka disaman ibu bapa dan akan berusaha menyelesaikan masalah itu secepat mungkin.

Menteri berkenaan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata guru adalah sebahagian daripada penjawat awam dan dilindungi undang-undang ketika menjalankan tugas.

“(Undang-undang) dah ada, cuma apa saya nak sebut, kami (kementerian akan lebih) proaktif (jika guru disaman). Tak naklah kalau guru itu kena (saman) dia (tanggung) seorang diri, bukan macam tu,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melancarkan Program Guru Bersama Masyarakat: Guru Pembina Negara Bangsa di Sekolah Kebangsaan Machang 2, di sini Isnin.
Mahdzir, bagaimanapun berharap tindakan undang-undang terhadap guru merupakan langkah terakhir yang akan diambil ibu bapa kerana kementerian mempunyai beberapa cara untuk mengatasi sebarang masalah yang mungkin berlaku antara pendidik dan pelajar.

“Pertama, boleh selesai secara rundingan dalaman dan kedua, mungkin boleh diselesaikan melibatkan kepimpinan seperti Pengarah Pendidikan Negeri dan Pegawai Pendidikan Daerah.

“Tapi kita berharap masyarakat tak samanlah cikgu walaupun ada beberapa kes terpencil (yang berlaku),” katanya.

Turut hadir, anggota Parlimen Machang merangkap Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Seri Alias Ahmad dan Pengarah Pendidikan Kelantan Jaafar Ismail.

– BERNAMA

.