KEMENTERIAN KEWANGAN MUNGKIN PEGANG 51% KEPENTINGAN THE EXHANGE DI TRX, KATA LAPORAN

KEMENTERIAN Kewangan (MoF) mungkin memiliki kepentingan terbesar dalam projek pembinaan bangunan 106 tingkat, The Exchange di kawasan Tun Razak Exchange yang dikatakan bakal menjadi bangunan tertinggi di Asia Tenggara dan salah satu daripada 15 bangunan tertinggi dunia, lapor akhbar mingguan kewangan The Edge seperti dipetik EdgeProp.

Penguasaan kepentingan sebanyak 51% itu dipercayai dilakukan pada dua atau tiga bulan lepas daripada Mulia International Ltd, anak syarikat milik gergasi Indonesia, Kumpulan Mulia, lapor laporan itu lagi.

Laporan tidak menyebut jumlah yang dibayar untuk pembelian 51% kepentingan itu.

Pemilik kepentingan terbesar Mulia Property Development Sdn Bhd yang sebelum itu dimiliki sepenuhnya Mulia International Ltd, adalah MKD Signature Sdn Bhd, sebuah syarikat RM2.

Pengarahnya adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Sektor Komersial) Bahagian Syarikat Pelaburan Kerajaan (GIC) MoF, Rashidah Mohd Sies, Setiausaha Bahagian GIC, Asri Hamidin@Hamidon dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pelaburan) MoF, Mohmad Isa Hussain.

The Exhange 106 mendapat namanya kerana memiliki 106 tingkat dan dianggap mercu tanda kawasan kewangan itu sebelum ini dikenali sebagai TRX Signature Tower.

Kumpulan Mulia mengambil alih plot tanah seluas 1.38 hektar kawasan Menara itu dibina pada Mei 2015 serta hak pembangunan bangunan itu daripada pemaju utama TRX City Sdn Bhd dengan harga RM665 juta.

China State Construction Engineering Corp Ltd, sebuah unit di bawah China State Construction Engineering Sdn Bhd akan membina bangunan itu, menyifatkannya sebagai “bangunan tertinggi dibina kontraktor China di pasaran asing”.

The Exchange 106 setinggi 492.3meter apabila disiapkan kelak melebihi ketinggian Menara Berkembar Petronas setinggi 451.9meter yang kini merupakan bangunan tertinggi di Malaysia.

– https://www.themalaysianinsight.com

.