KEMENANGAN TRUMP: ORANG ISLAM MULA BIMBANG

KERAJAAN dari Asia hingga Eropah memberi pelbagai respons, malah ada yang tidak percaya dengan kemenangan Donald Trump dari Parti Republikan dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat (AS) 2016 yang disifatkan paling sengit dalam sejarah negara itu.

Kejayaan jutawan hartanah itu menewaskan Hillary Clinton untuk menjadi Presiden AS ke-45 selepas berjaya mencatatkan kemenangan di swing state utama termasuk Florida, North Carolina dan Ohio dengan meraih lebih 270 undi yang diperlukan.

Dalam ucapan kemenangannya di New York, Trump, 70, berjanji untuk memulihkan negara itu.

“Sudah tiba masanya untuk kita menjadi satu bangsa bersatu padu. Saya berjanji kepada semua rakyat bahawa saya akan menjadi presiden untuk semua penduduk AS,” katanya.

Ketika berkempen, Trump pernah menyatakan rasa kagum dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, mempersoalkan rukun tengah perikatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) selain mencadangkan Jepun dan Korea Selatan dibenarkan membangunkan senjata nuklear sendiri kononnya untuk memikul beban pertahanan mereka sendiri.

Jutawan hartanah kontroversi itu juga pernah berikrar untuk membatalkan perjanjian global mengenai perubahan iklim yang dimeterai kuasa dunia di Paris pada tahun lalu dan mengadakan rundingan semula berhubung perjanjian antara Teheran dan Barat bagi melonggarkan sekatan ke atas negara itu sebagai pertukaran dengan membenarkan program nuklear negara tersebut dipantau rapi.

Tetapi, kebanyakan negara Barat tidak pasti sama ada bekas bintang realiti TV yang tiada pengalaman dalam politik itu mampu menunaikan janjinya.

Ahli sejarah terkenal, Simon Schama menyifatkan kemenangan Trump dan kekuasaan Republikan di Senat dan Dewan Perwakilan sebagai ‘prospek yang benar-benar menakutkan’.

“Nato akan berada di bawah tekanan, Rusia pula akan mencetuskan masalah. 20 juta orang akan kehilangan insurans kesihatan mereka, dasar perubahan iklim akan ditarik balik dan peraturan bank pula dibubarkan. Adakah anda mahu saya senaraikan lagi apa yang akan berlaku?,” katanya kepada BBC.

Orang Islam mula bimbang

Sementara itu, penduduk Islam di kebanyakan negara Asia seakan sukar untuk menerima kemenangan ahli politik populis yang sering menggunakan retorik anti-Islam dan menyampaikan Islamophobia secara terang-terangan sebagai bahagian penting dalam kempennya.

Antara kenyataan paling kontroversi beliau mengenai Islam adalah ketika Disember tahun lalu yang turut mencetuskan kemarahan 1.5 bilion orang Islam di seluruh dunia.

Trump dengan lantang membuat gesaan supaya melarang orang Islam daripada memasuki AS susulan insiden serangan berdarah di California.

Seorang pegawai kerajaan di Pakistan yang enggan identitinya didedahkan turut mengeluh dengan keputusan itu yang disifatkan ‘sangat kejam dan menakutkan’.

“Saya sangat kecewa melihat kemenangan Trump. Hillary Clinton hanya bersuara tentang keamanan tetapi Trump sering bercakap mengenai memerangi orang Islam,” katanya.

Di Indonesia, penduduk negara itu mula bimbang bagaimana pentadbiran Trump akan memberi kesan terhadap hubungan antara AS dan dunia Islam.

“Saya bimbang hubungan antara AS dengan negara Islam akan kembali tegang. Saya sangat takut. Adakah akan berlaku lebih banyak peperangan? Adakah AS akan menyerang negara Islam lagi?,” soalan itu diajukan aktivis Indonesia, Alijah Diete.

Selain itu, terdapat juga kebimbangan terhadap dasar anti-Islam yang lebih tegas di bawah pentadbiran Trump yang dikhuatiri akan meningkatkan lagi pengaruh ekstremisme di tengah-tengah dunia sedang bergelut dengan ancaman meningkat kumpulan militan.

“Apabila AS menggunakan kuasa lebih keras, ekstremis akan mendapat momentum. Pihak yang paling gembira dengan kemenangan Trump adalah Daesh,” kata wakil dari Pertubuhan Nahdlatul Ulama di Jakarta, Zuhairi Misrawi.

Beberapa pemerhati juga berharap retorik anti-Islam yang sering dilontarkan oleh beliau hanya untuk memancing undi dan tidak akan diterjemahkan ke dalam dasar xenophobia yang tegas apabila beliau mula bertugas di Rumah Putih.

Dasar Trump juga dikhuatiri akan mendiskriminasikan orang Islam di AS kerana beliau melihat golongan itu sebagai ‘orang asing’.

Kira-kira 3.3 juta penduduk Islam yang mewakili satu peratus populasi di AS kini bimbang dengan sentimen anti-Islam yang kian meningkat dan mungkin menjadi lebih buruk di bawah Trump.

Sementara itu, gerakan Hamas yang mentadbir Genting Gaza menyatakan mereka tidak menjangka perubahan dalam tindakan berat sebelah AS terhadap penduduk Palestin apabila Trump menggantikan Presiden Barack Obama.

“Ia adalah dasar yang konsisten. Tetapi, kami berharap Trump dapat menilai dan mengimbangi semula dasar ini terhadap isu Palestin,” kata jurucakapnya, Sami Abu Zuhri.

SINAR HARIAN

.