KEMENANGAN TRUMP CETUS GELOMBANG RISIKO

KUALA LUMPUR – Ringgit susut kira-kira dua peratus minggu ke minggu berbanding dolar US hari ini berikutan kemenangan mengejut Donald Trump dalam pilihan raya Amerika Syarikat.

Dalam satu kenyataan hari ini, Affin Hwang Asset Management berkata, ia bukan sahaja fenomena Malaysia kerana gelombang sentimen risiko tercetus di seluruh dunia, menjejaskan mata wang pasaran sedang muncul ketika pasaran masih menilai kesan dasar fiskal propertumbuhan serta hasrat presiden baru dilantik itu untuk mengadakan perjanjian perdagangan lebih ketat.

“Menambahkan lagi kesan negatif ke atas ringgit daripada pengaliran keluar (dalam pasaran bon) ialah harga minyak mentah yang lebih rendah serta nilai yuan China yang jatuh ke paras terendah dalam tempoh enam tahun,” katanya.

Menurut laporan agensi berita, pasaran hadapan satu bulan ringgit atau kadar luar pesisir, jatuh kepada 4.5280 berbanding dolar US pada Jumaat.

Kadar bulan semerta ringgit pada jam 6 petang hari ini disebut harga pada 4.2800/2900.

Affin Hwang berkata, penyusutan yang sama dilihat pada mata wang pasaran sedang muncul lain sperti rupiah Indonesia, peso Mexico serta real Brazil.

Menurutnya, kelok hasil perbendaharaan US mula menjunam pada kadar pantas ketika jangkaan pelabur ditingkatkan oleh dasar fiskal yang menggantikan dasar monetari yang lebih longgar untuk tempoh yang paling lama.

Hasil perbendaharaan 10 tahun US meningkat kepada 2.15 peratus, pergerakan lebih 40 mata asas dalam dua hari berikutan keputusan pilihan raya berkenaan, katanya.

Ia berkata, selepas menyaksikan penyertaan asing yang kukuh dalam pasaran bon tempatan sejak setahun lalu, minat jualan asing berlaku kali ini.

Pada masa depan, katanya, ringgit seperti mata wang pasaran sedang muncul lain akan terus menjadi ‘tebusan’ kepada kekukuhan dolar IS serta kenaikan kadar AS ketika pasaran memantau dan mencerna ucapan serta tindakan Trump.

Akhirnya, tanggungjawab kini beralih kepada bagaimana bank pusat global bertindak balas kepada ancaman ke atas mata wang mereka ketika tahun hampir ke penghujung dan kecairan pasaran bertambah lemah, katanya.

– Bernama

,