KEMELUT PKR KELANTAN: TERKAWAL ATAU MAKIN PARAH?

Ketika rakan-rakan pembangkang dan parti lawan sibuk merangka strategi menjelang pilihan raya umum ke-14, PKR terus dibelenggu dengan krisis kepimpinan di Kelantan yang nampaknya seakan tidak reda.

Desakan supaya Ketua Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Ab Aziz Ab Kadir melepaskan jawatannya semakin lantang, bukan sahaja di kalangan kumpulan penentang dalam parti, tetapi turut disuarakan oleh rakan-rakan dalam Pakatan Harapan (HARAPAN).

Pengarah Pilihan Raya PKR Kota Bharu Ahmad Syauqey Abdul Ghani (foto, bawah, kanan)  mendedahkan, pimpinan rakan-rakan HARAPAN peringkat negeri juga mengatakan betapa mereka tidak selesa khususnya dengan pimpinan PKR yang masih kekal dengan jawatan lantikan politik PAS di Kelantan.

“Saya mendapat tahu pimpinan rakan-rakan parti dalam HARAPAN tidak selesa (dengan keadaan itu).

“Ura-ura mengatakan mereka akan menyekat pimpinan PKR berkenaan daripada menghadiri mesyuarat HARAPAN peringkat negeri,” katanya kepada Malaysiakini di Kota Bharu, hari ini.

Kemelut PKR di negeri Cik Siti Wan Kembang ini tercetus selepas PAS memutuskan tahaluf siyasi secara rasmi dengan PKR sejak Mei lalu.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada awal minggu lalu mendedahkan bahawa perbincangan tidak formal masih berjalan dengan PAS.

Jual ubat

Ia disusuli pengumuman PKR Kelantan bahawa semua lantikan politik parti itu di negeri itu akan mengekalkan jawatan masing-masing dalam kerajaan negeri yang diterajui oleh PAS.

Keadaan itu sekali gus mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan puak yang berkeras supaya PKR memutuskan hubungan dengan PAS.

Malah, satu memorandum mendesak supaya Ab Aziz melepaskan jawatannya turut diadakan di samping pemecatan ketua pemuda (AMK) negeri, Dr Mohd Hafidz Rezal Amran oleh AMK pusat dan diganti dengan Mohd Khairul Amin Abd Rahman.

Dalam perkembangan terkini menurut Ahmad Syauqey, beliau mengadakan pertemuan dengan beberapa ahli jawatankuasa MPN yang menyatakan kesediaan untuk bersemuka dengan Ab Aziz.

“Pertemuan itu untuk meminta Ab Aziz meletak jawatan secara baik. Kumpulan yang terdiri daripada ahli jawatankuasa MPN mengadakan pertemuan secara sulit dan peribadi atas tujuan tersebut.

“Selain itu, saya juga mengadakan pertemuan dengan beberapa ketua cabang serta ahli jawatankuasa MPN dan diantara mereka juga mahu melepaskan jawatan masing-masing,” katanya.

Menurut Ahmad Syauqey, krisis itu semakin parah dan pihak di peringkat akar umbi berharap penyelesaian segera dibuat oleh pimpinan PKR pusat.

Sementara itu, pihak Ab Aziz (foto, atas, kiri) pula menjelaskan, setakat ini belum ada sebarang perjumpaan antara beliau dan ahli jawatankuasa MPN yang dimaksudkan oleh Syauqey.

“Dalam parti, hantar surat kepada presiden dan kita tunggu mereka panggil. Bukan ke sana ke mari, itu orang nak jual ubat,” katanya yang mengesahkan belum ada panggilan oleh PKR pusat berikutan perkembangan terkini.

Diminta mengulas mengenai dakwaan pimpinan kompenen HARAPAN tidak selesa dengan perkembangan itu, Ab Aziz berkata perkara berkenaan tidak berbangkit dalam mesyuarat-mesyuarat yang diadakan sebelum ini.

“Setiap parti dalam HARAPAN diwakili lima orang pemimpin di peringkat negeri sepatutnya dilaporkan di situ. Tapi tak ada apa (setakat ini).

“Seterusnya mesyuarat HARAPAN akan diketuai pengerusi yang baru Datuk Husam Musa yang dijadualkan pada 14 September ini,” katanya.

– M’kini

.