KEMELUT BN ANCAM GENGGAMAN KERUSI SEPANGGAR

Siri The Malaysian Insight mengenai kerusi Parlimen marginal menjelang Pilihan Raya Umum ke-14. Di Sepanggar, kemelut antara penyokong BN boleh menjejaskan genggaman parti pemerintah di kerusi itu.

KEHADIRAN tidak memberangsangkan pada majlis perasmian terowong bernilai RM82 juta di Sepanggar bulan lepas memberi petunjuk yang Barisan Nasional (BN) Sabah sedang kehilangan pengaruh di kerusi itu.

Barisan kerusi yang kosong pada majlis itu boleh menjadi petanda bahawa penyokong BN yang selama ini setia kepada Ahli Parlimen Sepanggar Jumat Idris kini tidak berpuas hati dengan kepimpinan BN Sabah.

Ahli BN yang tidak berpuas hati nampaknya tidak berusaha sehabis baik bagi memastikan kehadiran penuh di majlis itu, sehingga menyebabkan kerusi kosong, makanan dibazirkan dan ada pihak bermasam muka.

Tetapi, ini tidak bermakna pembangkang boleh mengambil peluang ke atas ketidakpuasan hati yang wujud untuk menang mudah. Pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), BN menang di Sepanggar dengan majoriti undi 9,442.

Parti pembangkang di Sabah masih belum membentuk kerjasama pilihan raya bagi memastikan wujudnya pertandingan satu lawan satu menentang BN. Pertandingan banyak penjuru seperti mana yang berlaku pada 2013 hanya memecahkan undi pembangkang dan membolehkan BN menang banyak kerusi di Sabah.

Walaupun pembangkang kini mahu mengambil peluang kemelut yang sedang berlaku dalam penyokong BN di Sepanggar, mereka juga mengakui yang parti pemerintah itu sedang berusaha mengatasi kemelut yang timbul.

Sumber menyebut, punca krisis kesetiaan itu adalah hukuman penggantungan tiga tahun dijatuhkan Umno Sabah pada 2015 ke atas Ahli Parlimen Sepanggar, Jumat Idris yang disukai ramai.

Jumat menimbulkan kemarahan Ketua Menteri Sabah Musa Aman apabila beliau membentangkan rancangan yang mendesak Musa berundur untuk membuka peluang kepada pemimpin Umno Sabah yang lain.

Kemarahan ke atas penggantungan itu dipercayai memberi kesan sehingga menjejaskan majlis perasmian projek terowong itu.

Sumber Umno Sabah memberitahu The Malaysian Insight, kad jemputan majlis dihantar kepada pejabat Parlimen Sabah bagi mengundang ahli cawangan Umno menghadiri acara perasmian terbabit.

Tetapi, kad jemputan itu tidak diedarkan langsung sehingga menyebabkan kehadiran di majlis itu sangat rendah, kata sumber itu lagi.

BN ganti calon

Pada PRU13 lalu, Jumat menang di kerusi Parlimen Sepanggar apabila meraih 22,845 undi dalam pertandingan empat penjuru. Pesaing terdekatnya ialah Jeffrey Kumin (DAP) dengan 13,403 undi. Chin Hong Kong (SAPP) pula mendapat 4,070 undi dan Daniel John Jambun (Star) menerima 1,931 undi.

Sepanggar mempunyai 53,374 pengundi berdaftar, 54% adalah Bumiputera Islam, 26% Bumiputera bukan Islam dan 19% lagi adalah pengundi kaum Cina.

Kebanyakan masyarakat Bumiputera di sini terdiri dari suku kaum Kadazan Dusun dan Bajau namun kemenangan BN banyak disokong oleh Bumiputera Islam.

Parlimen Sepanggar mempunyai dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Inanam dan Karambunai.

Krisis kesetiaan di Sepanggar dikatakan berpunca apabila Ahli Parlimen, Jumat Idris membentangkan rancangan menggantikan Ketua Menteri Musa Aman (tengah berbaju ungu) sehingga membangkitkan kemarahan politikus veteran itu dan menyebabkan Jumat digantung keahlian Umno selama tiga tahun sejak 2015. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2017.
Krisis kesetiaan di Sepanggar dikatakan berpunca apabila Ahli Parlimen, Jumat Idris membentangkan rancangan menggantikan Ketua Menteri Musa Aman (tengah berbaju ungu) sehingga membangkitkan kemarahan politikus veteran itu dan menyebabkan Jumat digantung keahlian Umno selama tiga tahun sejak 2015. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2017.

Kawasan Parlimen itu terletak di utara Kota Kinabalu. Berbilion ringgit sudah diperuntukkan untuk menjadikan kawasan itu hub logistik dan pengangkutan kapal utama.

Sepanggar menempatkan pelabuhan utama Sabah, kem tentera laut Sepanggar, 1Borneo Hypermall, Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan tapak jana kuasa bebas.

Ia juga mempunyai banyak hotel lima bintang, termasuklah dua hotel kelas dunia di Karambunai, dan dua universiti awam terbesar di Sabah; Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan kampus cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Bagi memastikan kerusi itu terus dalam genggaman, BN Sabah dipercayai akan memindahkan Menteri Kabinet Abdul Rahman Dahlan dari kawasan Kota Belud untuk bertanding di Sepanggar.

Dalam pada itu, timbul juga cakap-cakap yang sekutu Jumat, Adun Karambunai, Jainab Ahmad akan dipindahkan untuk bertanding di kerusi di Tawau, di pantai timur Sabah.

Apabila ditanya tentang perkara ini, Jainab menafikan khabar angin itu dan berkata “cakap-cakap begitu tidak berasas.”

Aktivis PKR Sabah, Riduan Hamzah berkata keputusan sama ada Rahman akan bertanding di Sepangar akan bergantung kepada perkembangan di Kota Belud.

Hamzah berkata Rahman mungkin dipindahkan ke Sepanggar untuk membuka jalan kepada Adun Usukan, Salleh Said Keruak bertanding di Parlimen Kota Belud.

“Ini akan membuka jalan kepada Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia untuk mengisi salah sebuah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Belud,” katanya.

“Tetapi bukan semua orang sukakan Pandikar sekarang, pandangannya tentang Perjanjian Malaysia tidak diterima ramai di Kota Belud,” kata Hamzah lagi.

Pembangkang mengasak

Di pihak pembangkang pula, Parti Warisan Sabah dipercayai sedang mengintai peluang untuk bertanding di Sepanggar memandangkan kawasan itu gagal dirampai DAP dalam pilihan raya sebelum ini.

Sumber pembangkang mengatakan, DAP masih berminat untuk menakluk kawasan itu kerana ia percaya mampu mengambil peluang dalam kemelut yang melanda BN sekarang.

Riduan berkata Naib Presiden Warisan dan Ahli Parlimen Penampang Darell Leiking mungkin akan bertanding di kerusi DUN Inanam.

“Saya difahamkan yang Leiking mungkin akan mempertahankan kerusi Parlimen Penampang dan bertanding di DUN Inanam untuk partinya,” katanya.

Peniaga Jalan Sulaman juga tidak puas hati dengan pembukaan terowong Sepanggar yang menyebabkan jalan itu tidak dilalui orang ramai lagi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2017.
Peniaga Jalan Sulaman juga tidak puas hati dengan pembukaan terowong Sepanggar yang menyebabkan jalan itu tidak dilalui orang ramai lagi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2017.

Bapa Darell, Marcel Leiking, pernah bertanding di Inanam pada 1977 atas tiket Berjaya.

Warisan dan Pakatan Harapan Sabah kini sedang menjalankan rundingan untuk membentuk pakatan pilihan raya bagi memastikan pertandingan bersemuka dengan BN.

Selain kemelut dalaman BN, pembangkang juga dijangka memainkan sentimen tidak puas hati penduduk terhadap pentadbiran BN Sabah di kawasan itu.

Terowong Sepanggar misalnya tidak disukai oleh sebahagian penduduk tempatan.

Seorang pengusaha kedai makanan laut, Normala Iskandar berkata beliau dan peniaga lain di sepanjang Jalan Sulaman marah dengan pembukaan terowong Sepanggar.

“Sekarang tak banyak kereta akan lalu kawasan ini selepas kerajaan bina terowong itu.”

Pekerja pelabuhan, anggota tentera laut kem Sepanggar dan pekerja hotel berdekatan dijangka tidak lagi melalui Jalan Sulaman, sebaliknya menggunakan terowong untuk ke tempat kerja.

Terowong Sepanggar akan mengurangkan jarak perjalanan antara Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Pelabuhan Sepanggar sekurang-kurangnya 7km.

– M’kini

.