KEMAJUAN TEKNOLOGI TAK PERLUKAN LAGI PERJUANGAN BAHASA DAN BUDAYA MELAYU

Sebagai budayawan tulin,Tan Sri Rais Yatim telah menjuarai penentangan terhadap Bahasa Rojak walau di mana kementerian beliau berada dan beliau sendiri adalah identiti keperkasaan budaya terutama dalam penguasaan bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang sempurna dan indah.

Memanglah layak beliau menjadi Penasihat Kerajaan dalam Hal Ehwal Sosial dan Kebudayaan tetapi barangkali beliau tidak sedar berada dalam masa yang sudah tidak sesuai lagi dengan perjuangannya.

Apabila saya menjadi Mentri Penerangan saya cuba membantunya untuk menghapuskan bahasa rojak. Saya mengharapkan tindakan berkesan dengan membentuk Jawatankuasa Bersama Antara RTM dan Dewan Bahasa dan Pustaka untuk memantau dan mengumpul secara rambang kesilapan ini yang sering dilakukan dalam drama TV di semua stesen dan kemudian didedahkan seminggu sekali di akhbar dan RTM sendiri.

Dengan itu orang ramai akan dapat mengenali stesen manakah yang paling kehadapan dalam merosakan bahasa atau melalaikan tanggungjawab terhadap kemurnian bahasa ibunda.

Oleh kerana tidak ada penumpuan sirius dari mereka yang dipertanggungjawabkan dari Dewan Bahasa maka saya tidaklah lagi memberikan perhatian berat kerana menerima realiti orang yang pandai berbahasa tidak semesti pandai bekerja.

Disamping itu saya menerima hakikat bahawa kesempurnaan dan ketidakrojakan bahasa tidak lagi diperlukan dalam kepantasan keperluan teknologi terutama bagi bidang komunikasi.

Penerapan bahasa Inggeris dalam semua aspek tidak lagi dapat dipertahankan dan tidak lagi dapat di kejar oleh Dewan Bahasa dan Pustaka yang tidak mempunyai sense of urgency sesuai dengan kehendak semasa.

Dewan Bahasa sebagai institusi Melayu masih dalam sistem kerja budaya Melayu ketika mengahadapi cabaran kepantasan budaya dunia. Jika seorang wartawan dapat menterjamahkan sesebuah novel atau buku dalam masa sebulan, Dewan Bahasa mungkin mengambil masa dua tiga tahun.

Tan Sri Johan Jaafar bekas Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka yang pernah berada dalam dunia kewartawanan dapat merasakan perbezaan sikap kerja dalam dunia kewartawanan yang senantiasa memerlukan kepantasan dengan budaya kerja relax Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka yang sukar untuk diubah.

Saya menimbulkan isu bahasa rojak ini dan pendekatan sikap budaya Melayu berikutan dengan kegagalan Kongres Budaya 2017 untuk mengenali anasir-anasir budaya dinamik yang diperlukan Melayu dan budaya yang perlu dihapuskan sebaliknya lebih menumpukan kepada mahu menghidupkan budaya Melayu yang tidak lagi sezaman.

Berikutan dengan kongres itu juga , Lembaga Penapisan Filem (LPF)telah menegur stesen TV dan penerbit yang membenarkan penggunaan bahasa rojak pada tajuk cerita drama dan filem dan disamping berlaku keliaran dalam dialog drama TV yang sering bercampur Inggeris dan Melayu.

Pengarah dan penerbit filem tersohor Yusof Haslam mempertahankan ini sebagai suatu penerimaan masyarakat sekarang kerana tidak sahaja berlaku di kalangan penerbit filem tetapi juga dalam kepimpinan negara seperti mesyuarat dan urusan urusan kerajaan lainnya.

Mungkin hal ini boleh dilihat sebagai suatu kewajaran kerana Indonesia sendiri yang selama ini menjadi kiblat contoh kedaulatan Bahasa Ibunda kepada kita tetapi sekarang juga sudah tidak lagi dapat mengawal penerapan bahasa Inggeris sehingga lirik lagu-lagunya juga telah dirojakan.

Bagaimana pula dengan kerojakan bahasa SMS, Whatsapp,Facebook, Instagram dan lain-lain.Adakah boleh dikawal?

Semua bangsa telah kehilangan identiti budaya dan dikuasai oleh budaya teknologi.Maka itu saya memandang sinis terhadap Kongres Budaya 2017 baru-baru ini dan meanggapnya sebagai membuang masa dan wang kerana gagal mengenali apakah budaya yang diperlukan oleh generasi baru Melayu.

Kehadiran lebih tiga ribu orang di kongres itu sebenarnya hanyalah suatu kejayaan mengumpul sejumlah besar manusia yang tidak disertai oleh fahaman, semangat, dukongan,iltizam dan penghayatan terhadap matlamatnya kerana mereka sendiri hidup dalam suasana atau realiti yang berlainan dari apa yang mahu diperjuangkan oleh kongres itu.

Saya suka mengulangi apa yang telah saya katakan: Kongres Budaya 2017 tidak lebih dari suatu himpunan penonton menyaksikan ulang tayang filem lama untk bernostalgia dengan mimpi yang tak sudah.

Tan Sari Rais Yatim mungkin marah dengan konklusi saya ini tetapi marilah kita bersama melihat dan perhetongkan apakah pencapaian dari resolusi Kongres Budaya 17 dalam setahun dua ini.

– http://zamkata.blogspot.co.id/

.