KEMAAFAN DENDAM TERINDAH AZWAN BUAT AZMIN

Di sebalik siri serangan ganas dihalakan kepada Datuk Seri Azmin Ali, selebriti sensasi dan kontroversi, Azwan Ali mengakui menteri besar Selangor itu tetap anggota keluarganya.

Ibarat air yang dicincang tidak akan putus, Azwan dan Azmin tetap bersaudara.

Cuma kata Azwan, soal memaafkan Azmin itu belum ada dalam kamus hidupnya. Sekurang-kurangnya buat masa ini.

“Pandangan Azwan Ali situasi sekarang agak tegang, tidak menentu dan masanya tak sesuai,” kata Azwan dalam temubual eksklusif bersama Malaysiakini di ibu negara baru-baru ini.

Azwan berkata demikian selepas ditanya apakah ada kemungkinan dapat dilakukan Azmin supaya dia boleh memaafkan abangnya itu.

Azmin dan Azwan memang dua personaliti yang dikenali ramai di dua bidang yang berbeza.

Azmin kurang dikenali asalnya sehinggalah Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan dalam kerajaan dan parti pada 1998. Beliau ketika itu menjadi setiausaha kepada Anwar.

Dari sehari ke sehari Azmin semakin meningkat sehinggalah kini menjadi menteri besar Selangor dan timbalan presiden PKR.

Azwan pula lebih awal mencipta nama di negara ini. Dia bermula sebagai pengacara serta hos rancangan hiburan di satu-satunya stesen TV swasta Malaysia suatu ketika dulu, TV3.

Antara program yang pernah dikendalikan Azwan ialah Muzik Muzik yang cukup berpengaruh sebelum ini.

Mungkin ya mungkin tidak

Bagaimanapun akhir-akhir ini Azwan menjadi perhatian apabila membuat kemunculan mengejut semasa Perhimpunan Agung Umno di PWTC pada 7 Dis lalu.

Dia juga mengancam untuk membuat pendedahan mengenai Azmin.

Seorang lagi anggota keluarga mereka yang terkenal ialah Umi Hafilda Ali.

Mengulas kemungkinan dia berbaik-baik semula dengan Azmin, Azwan berkata ia akan menjadi seperti “kemaafan dendam yang terindah” buat dirinya.

Kata Azwan, semua orang tahu dia berdendam sejak sekian lama terhadap Azmin.

“Memanglah kemaafan sesuatu yang dituntut dalam Islam, tapi kepada saya mungkin ia menjadi satu fenomena kemaafan dendam yang terindah, yang mungkin berlaku, mungkin tidak,” kata Azwan  menggunakan judul lagu pernah dipopularkan penyanyi Aishah.

Menurut Azwan beliau juga akan menolak permohonan maaf anggota parlimen Gombak itu.

“Mungkin (kalau) dia berhajat pun saya akan menolak. Memang saya tak nak jumpa dia buat masa ini, sebab saya seorang yang berterus terang dan jujur dengan apa yang saya lakukan,” katanya.

Kata Azwan lagi, apa yang menjadi keutamaannya ketika ini ialah membangkitkan isu hipokrasi anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa itu.

“Bukan soal mohon maaf, tapi soal hipokrasi atau sikap bermuka-muka seseorang yang bernama Mohamed Azmin Ali dan munafiknya pemimpin ini.

“Di mata umum dia kelihatan terlalu alim, macam pijak semut pun tak mati,” katanya.

Kata Azwan apa yang dibangkitkan beliau juga sebenarnya bukanlah kerana dendamnya atau rasa iri hati kepada kejayaan abangnya.

Sebaliknya, Azwan berkata ia soal personaliti berbeza (splitt personaliti) pada Azmin itu sendiri.

“Itu belum cerita-cerita negatif dia yang selama ini saya simpan.

“Untuk semua pihak khususnya fanatik (menyokong) menteri besar, mereka telah tersilap memuja seseorang.

“Minta maaf cakaplah, saya kenal dia dan saya ada bukti-bukti siapa beliau,” katanya.

Justeru, Azwan menyeru semua pihak khususnya rakyat Selangor mengambil iktibar daripada pendedahan itu dan berhenti daripada menjadi penyanjung fanatik.

“Kamu boleh sanjung pemimpin anda tapi biar dia benar-benar hebat, tapi kalau dia terpalit dengan seribu satu cerita yang mungkin ramai tak tahu biarlah saya mencabar beliau – sebenarnya siapa beliau,” kata Azwan.

– M’kini

.