KEM BELUM SIAP, PENGUNDI POS SUDAH ADA

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, mendesak Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPRM) memberi jawapan segera berhubung isu pendaftaran baru pengundi tentera.

Izzah yang juga merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, mana mungkin sejumlah besar golongan askar didaftarkan sebagai pengundi pos di kem askar Bera, Bagan Datok dan Segamat, sedangkan setiap satu kem belum siap dibina dan dihuni.

Katanya, seandainya SPR tidak memberikan jawapan yang tuntas, dibimbangi banyak pihak akan membangkitkan kredibiliti dan niat SPR.

“Terutama, apabila kita perhalusi majoriti kemenangan BN di kawasan terbabit di samping tarikh pilihan raya yang semakin hampir, ternyata perkara ini mampu  melahirkan banyak imej negatif pada SPR,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tegasnya, tidak cukup dengan itu, pertambahan pengundi yang ‘dibawa masuk’ ke kem-kem berkenaan bukan sedikit, bahkan mencecah angka ribu-ribuan.

Katanya, aneh difikirkan, bagaimana SPR boleh membenarkan pendaftaran golongan tentera ini, sedangkan ia bertentangan dengan undang-undang sedia ada.

Jelas Nurul Izzah, tindakan SPR seolah-olah menidakkan Perkara 19(1)(b) Perlembagaan Persekutuan secara langsung,  akta tersebut jelas menyatakan, seorang pengundi hanya dikira layak mendaftar di satu-satu kawasan, jika insan tersebut menetap di kawasan berkenaan pada tarikh pendaftaran.

Dengan ini, katanya, beliau  mendesak pihak SPR agar bertanggungjawab atas isu pendaftaran pengundi tentera yang langsung tidak berintegriti ini.

“Pendaftaran yang telah dijalankan wajib ditarik balik, selagi mana golongan tentera tersebut belum masuk ke kem masing-masing,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul Izzah juga menggesa pihak PDRM dan Jabatan Peguam Negara memastikan SPR mengambil tindakan sepantas mungkin.

“Kegagalan hari ini, bererti kemusnahan masa depan negara,” katanya.

– Sinar Harian

.