KELUARGA TUNTUT KEADILAN UNTUK PELAJAR YANG DITUDUH CURI TELEFON BIMBIT

AHLI keluarga M. Vasanthapiriya menuntut keadilan untuk gadis berkenaan yang meninggal dunia hari ini, berikutan cubaannya membunuh diri selepas dituduh mencuri telefon bimbit oleh gurunya.

Pelajar Tingkatan Dua SMK Methodist Nibong Tebal itu dilaporkan meninggal dunia pagi ini di Hospital Seberang Jaya selepas koma selama seminggu.

Ibu saudaranya, A. Lalitha, 43, berkata, anak saudaranya itu pasti berasa malu dengan tuduhan yang dibuat dan bagaimana dia dilayan di sekolah di hadapan pelajar lain.

“Mengapa guru berkenaan tidak boleh tanya dengan baik? Mengapa pukulnya di hadapan pelajar lain? Ada budak lelaki yang melihatnya.

“Dia pastinya berasa sangat malu. Bagaimana dia nak ke sekolah hari selepas itu untuk berdepan rakannya yang lain?” katanya kepada pemberita di luar bilik  mayat hospital berkenaan pagi ini.

“Guru berkenaan sudah dapat semula telefonnya, tetapi adakah adik saya akan dapat semula anaknya?” katanya kepada pemberita.

Rabu lalu, Vasanthapiriya dituduh mencuri telefon bimbit iPhone 6 milik gurunya. Dia menafikan namun gurunya tidak percayakannya.

Dia ditegur di hadapan pelajar lain. Terdapat dakwaan dia dipukul selain dikurung dalam sebuah bilik di bilik guru selama hampir lima jam dan kemudiannya dibawa pulang ke rumah oleh guru berkenaan dan suaminya untuk berdepan ibu bapa pelajar itu.

Ketika ibu bapanya keluar untuk menyelesaikan masalah itu, Vasanthapiriya bertindak menggantung diri dalam biliknya. Ibu bapanya mendapati dia masih hidup ketika menemuinya selepas pulang ke rumah tetapi tidak sedarkan diri.

Salah seorang bapa saudara pelajar itu kemudiannya membuat laporan polis.

Keluarga Vasanthapiriya mendakwa rakan sekelas anak pelajar itu memberitahu mereka, telefon bimbit itu dilihat ada bersama guru berkenaan sehari selepas insiden.

Jabatan Pendidikan Pulau Pinang sejak itu menjalankan siasatan dalaman mengenai insiden berkenaan dan guru terbabit ditukarkan ke Pejabat Pelajaran Daerah Seberang Prai.

Hari ini, jabatan berkenaan menyatakan kesedihan mereka di atas kehilangan pelajar itu.

“Kami berharap keluarga Vasanthapiriya tabah menghadapi waktu yang sukar ini,” kata timbalan pengarah pendidikan Mohd Jamil Mohamed dalam satu kenyataan.

Katanya, pihak jabatan telah menyerahkan siasatan itu kepada polis untuk mengambil “tindakan tanpa kompromi”.

“Siasatan awal oleh jabatan telah siap dan dihantar kepada jabatan pendidikan.

“Jabatan berharap semua pihak tenang dan memberi ruanng kepada polis untuk menjalankan tugas mereka,” katanya.

Sementara itu, pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Methodist Nibong Tebal Teoh Seang Hooi berkata, pihak mereka turut bersedih dengan kematian Vasanthapiriya.

“Pihak PIBG mengucapkan takziah kepada keluarganya.

“Satu mesyuarat khas akan diadakan bagi memastikan semua guru mematuhi SOP (prosedur operasi standard) dalam menguruskan pelajar.

“Jabatan Pendidikan Negeri juga perlu mengingatkan kepada semua pihak berkuasa sekolah untuk mengikut SOP,” katanya.

Jabatan berkenaan sebelum ini berkata, pihaknya akan menyiasat sama ada sekolah berkenaan mengikut SOP atau sebaliknya ketika menguruskan perkara itu.

Sebelum ini, Mohd Jamil memberitahu The Malaysian Insight bahawa sekiranya guru kehilangan sesuatu, dia perlu melaporkan kepada guru disiplin sekolah.

“Guru disiplin akan menyiasat dan mengambil tindakan sekiranya benar pelajar melakukan kesalahan,” kata Jamil.

Beliau bagaimanapun berkata, siasatan kini sedang dijalankan dan akan mengambil sedikit masa untuk memberikan keadilan kepada semua pihak.”

– https://www.themalaysianinsight.com

.