KELUARGA THAQIF TUNTUT LAPORAN KKM, MAHU PANDANGAN PIHAK KETIGA, KATA PEGUAM

KELUARGA pelajar tahfiz Mohamad Thaqif Amin Mohd Gadaffi menuntut laporan bedah siasat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mahu merujuk pakar daripada pihak ketiga mengenai keputusan tersebut.

Peguamnya Hishamuddin Hashim berkata segala keputusan undang-undang berkaitan akan dibuat selepas meneliti laporan penuh KKM.

“Kita belum dapat buat keputusan apa tindakan selanjutnya dan sekarang kita mohon laporan penuh untuk buat semakan dan lihat apa isu undang-undang (boleh diambil).

“Terlalu awal untuk kita cakap tindakan lanjut, lebih baik dapatkan laporan penuh dan adakan sidang media selepas itu.
“Kita hendak semak laporan perubatan dan kita akan dapatkan pihak ketiga. Kita akan cuba dapatkan pakar tetapi belum diputuskan lagi, kemungkinan besar daripada pihak swasta,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pihaknya sedang menyediakan surat tuntutan yang akan dihantar hari ini kepada Ketua Pengarah KKM, Datuk Noor Hisham Abdullah.

Sebelum ini, bapanya mangsa Mohd Gadaffi Mat Karim dilaporkan enggan hadir ke IPD Kota Tinggi, Johor apabila diminta berjumpa dengan pakar perubatan untuk penjelasan hasil kajian berkaitan kes tersebut.

Kes Mohamad Thaqif, 11 tahun mendapat liputan meluas media kerana tular di media sosial dakwaan Mohamad Thaqif mati akibat didera.

Tetapi, laporan bedah siasat kedua mendedahkan kematian pelajar itu berpunca daripada leptospirosis atau kencing tikus.

Pembantu warden sekolah berusia 29 tahun ditahan untuk membantu siasatan kerana terdapat laporan mendakwa dia memukul Thaqif menggunakan paip getah.

Dia yang memilik rekod jenayah samun kemudiannya dibebaskan dengan bon mahkamah bernilai RM20,000.

Difahamkan Thaqif turut mengadu kepada ibunya mengenai kejadian dipukul itu dan turut menulis dalam diarinya bagaimana kejadian itu bermula pada Mac.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.