KELUAR DARIPADA SISTEM DUA BLOK POLITIK – ZUHDI

SHAH ALAM – Negara ini perlu keluar daripada sistem dua parti atau dua blok politik kerana ia menyebabkan wujud kerajaan yang tidak mendengar langsung suara rakyat.

Pendapat itu disuarakan secara peribadi oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr Mohd Zuhdi Marzuki.

Menurutnya, situasi itu juga akan menyebabkan wujud pembangkang yang hanya bertujuan merampas pemerintahan sedia ada.

“Perlu wujud pelbagai parti atau blok yang akan menjadikan politik Malaysia lebih matang dan sejahtera. Rakyat tidak boleh memberi mandat penuh (memperoleh lebih 50 peratus kerusi) kepada sesuatu parti atau blok membentuk kerajaan.

“Pembentukan kerajaan biarlah berlaku dengan persefahaman antara parti-parti atau blok-blok selepas PRU.

“Apabila ini berlaku, mana-mana kerajaan selepas ini tidak boleh bertindak secara unilateral dan ini lebih menjamin maslahat rakyat,” ujarnya.

Justeru katanya, Pas contohnya akan berdepan PRU14 kali ini bersama Gagasan Sejahtera (Gagasan).

“Apabila Gagasan wujud sebagai satu lagi blok politik, sudah tentu pertandingan satu lawan satu sukar dicapai seperti dalam sistem dua parti atau dua blok,” katanya.

Beliau bagaimanapun mengakui pembentukan kerajaan yang terdiri daripada pelbagai blok agak sukar bagi parti-parti politik, tetapi ia memberi kebaikan kepada rakyat.

“Kerajaan yang memerintah dan terdiri daripada pelbagai blok tidak boleh melakukan salah guna kuasa dan membuat tindakan yang menyusahkan rakyat sewenang-wenangnya.

“Parti atau blok gabungan mereka boleh menjadi check and balance supaya tidak berlaku tindakan sedemikian,” katanya.

– Sinar Harian

.