KEKALAHAN NIK ABDUH TAK JEJAS KERJASAMA PKR-PAS – AZMIN ALI

SUBANG JAYA: Kekalahan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz di Pengkalan Chepa tidak menjejaskan pertimbangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk bekerjasama dengan PAS, kata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Malahan Timbalan Presiden PKR itu berkata, parti itu tidak mencampuri hal dalaman parti Islam tersebut.

“Itu kita serah kepada parti berkenaan. Bila kita ambil pendirian untuk bekerjasama dengan PAS, bukan kerana individu-individu tertentu.

“Tetapi ini adalah kerana dasar PKR dan PAS. Ia tidak bergantung kepada mana-mana individu,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas selepas majlis pelancaran dan pendaftaran Rumah Selangorku di Putra Heights di sini, Selasa.

Turut hadir, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad dan Pengarah Urusan Sime Darby Property, Datuk Jauhari Hamidi.

Sabtu lalu, Nik Abduh yang merupakan Ahli Parlimen Pasir Mas tewas dalam pemilihan jawatan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Pengkalan Chepa.

Azmin yang juga Menteri Besar Selangor pada Isnin berkata, pihaknya masih tetap berbincang dengan PAS walaupun parti Islam itu menerima dua usul bahagiannya di Pulau Pinang supaya memutuskan hubungan dengan PKR.

Menurut Azmin, keputusan sama ada PAS mahu menerima dua usul daripada Permatang Pauh dan Bayan Baru bergantung kepada pimpinan tertinggi parti Islam itu.

“Kita serahkan kepada kebijaksanaan PAS dan pemimpinnya untuk tentukan. Bagi pihak PKR kita mahu semua parti yang progresif, yang ingin lakukan perubahan bersama-sama. Pendirian PKR tidak berubah,” katanya.

Nik Abduh yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat dan Pengkalan Chepa hanya memperoleh 37 undi, manakala pencabarnya, Dr Izani Husin yang juga penyandang jawatan mendapat 209 undi.

– Mstar

.