Menteri Kewangan II, Datuk Johari Abdul Ghani berkata, berlaku spekulasi yang sangat hebat dalam kalangan pemain matawang di luar negara yang mahu mengambil kesempatan terhadap ketidaktentuan polisi AS.

“Kejatuhan mata wang ini bukan hanya melibatkan kita, tapi di seluruh dunia.

“Dalam hal ini, kita tidak boleh bertindak mempertahankan matawang ringgit kerana itulah yang mereka mahukan di mana mereka akan ‘serang’ ringgit sampai kita lemah,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam sempena Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-18 Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) di sini malam ini.

Sebaliknya kata beliau, kerajaan akan fokus untuk memperkukuhkan asas ekonomi negara seperti pembangunan infrastruktur, menjaga perdagangan dan sebagainya yang akan memulihkan semula matawang ringgit tidak lama lagi.

Kemenangan Trump dalam pilihan raya Presiden AS Rabu lalu turut menyaksikan ringgit jatuh ke paras terendah sejak Januari yang mencecah RM4.53 untuk setiap US Dolar.

Dalam pada itu, Johari berkata, penarikan diri AS daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) tidak akan memberi kesan kepada keadaan ekonomi negara meskipun perjanjian tersebut akan mendatangkan banyak kebaikan kepada struktur perdagangan antarabangsa negara.

“Kita berdagang dengan semua negara dan setiap negara yang kita berdagang kita ada perjanjian perdagangan, jadi sama ada TPPA wujud atau tidak, tidak menjejaskan negara kita.

“Jumlah dagangan kita sudah mencapai RM1.5 trilion setahun walaupun tanpa TPPA, jadi saya tidak nampak mengapa kita perlu risau dengan pembatalan perjanjian itu. Benar TPPA memberi pasaran yang lebih luas, tetapi ketiadaannya juga tidak akan menjejaskan ekonomi kita,” katanya.

-UTUSAN ONLINE