KEHILANGAN PASTOR: POLIS TAHAN SEORANG INDIVIDU

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seorang individu bagi membantu siasatan berhubung kehilangan Pastor Raymond Koh.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya percaya penahanan yang dibuat di utara tanah air pada minggu lalu itu dapat membantu siasatan.

“Setakat ini hanya seorang sahaja individu yang telah ditahan dan saya tidak boleh dedahkan lebih lanjut perkara itu.

“Kita tidak akan menutup kes ini dan saya tegaskan polis menyiasat semua kes termasuklah kes ini,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Program Derma Darah Sempena Peringatan Hari Polis Ke-210 Tahun 2017, di Bukit Aman, hari ini.

Turut hadir Pengarah Pusat Darah Negara, Dr Noryati Abu Amin.

Dalam pada itu, Khalid memberitahu, pihaknya berdepan kesulitan pada peringkat awal siasatan kerana terlalu banyak gangguan dari pihak tertentu.

Katanya, gangguan itu menyebabkan banyak kecacatan dalam kes ini.

“Saya telah maklumkan, biar kita siasat dahulu kes ini dan usah beri publisiti. Bila publisiti terlalu banyak, jadi banyaklah kecacatan,” katanya.

Tambahnya, PDRM akan siasat semua laporan yang dibuat termasuklah dakwaan memaklumkan pastor ini dilarikan serta memurtadkan orang Islam dalam menjamin keadilan dalam siasatan.

Mengulas terdapat aktivis yang mendakwa pihak berkuasa terlibat dalam kehilangan pastor Raymond, Khalid berkata, pihaknya akan memanggil aktivis terbabit untuk bantu siasatan.

“Usah buat sebarang tuduhan tidak berasas, kalau tiada bukti jangan buat tuduhan mengatakan kehilangan pastor ini kerana tindakan pihak berkuasa. Kalau ada bukti beritahu, kita jalankan siasatan dan ambil tindakan.

“Kalau tidak, usah cuba ‘spin’ situasi nak tunjukkan kerajaan dan pihak berkuasa terlibat dalam perkara ini,” katanya.

– SH

.