KEHADIRAN MAHATHIR CURI TUMPUAN PESERTA BERSIH 5

KUALA LUMPUR – Kehadiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di perhimpunan Bersih 5 hari ini paling mencuri tumpuan ramai.

Mahathir, 91, kelihatan tetap bersemangat walaupun beliau baru pulang ke tanah air dari program rasmi di Sudan.

Pengerusi Bersatu itu terlebih dahulu bertemu penyokong Bersih 5 di LRT Bangsar dengan ditemani presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan timbalan presiden, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Mereka kemudiannya bergerak ke lokasi berkumpul baharu Bersih 5 iaitu berhampiran Menara Berkembar Petronas (KLCC) kira-kira jam 3.30 petang.

Mahathir kemudiannya berucap hampir 15 minit di hadapan penyokong Bersih 5 dan menyatakan perasaan bangsa dengan semangat ditunjukkan semua peserta.

“Saya amat bangga sebab tuan-tuan dan puan-puan berkumpul beramai-ramai disini. Tidak perlu takut, berani kerana benar,” katanya.

Di dalam ucapannya itu, Mahathir sekali lagi mengulangi dakwaannya mengenai salah guna kuasa dalam pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kita akan mempertahankan pemimpin-pemimpin kita termasuk Maria Chin (Pengerusi Bersih 2.0) dan beberapa orang lagi yang telah ditangkap dengan cara yang salah oleh Najib.

“Inilah kerajaan kita sekarang. Kita mungkin terpaksa tunggu sehingga PRU tapi kita kena buat sesuatu untuk jatuhkan Najib,” katanya.

SINAR HARIAN

.