KEGAGALAN 1MDB BAYAR HUTANG DEDAH PERANCANGAN KEWANGAN YANG TERUK, KATA PAKAR EKONOMI

KEGAGALAN 1Malaysian Development Berhad (1MDB) membayar hutang tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia, yang menunjukkan kerajaan perlu menyediakan perancangan kewangan yang lebih berhemah, kata pakar ekonomi.

Bekas timbalan ketua setiausaha perbendaharaan Ramon Navaratnam berkata 1MDB melepasi tarikh akhirnya untuk membayar hutang AS$600 juta (RM2.6 bilion) kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) adalah pertama kali bagi badan kerajaan yang gagal mengikut jadual pembayaran.

“Saya terkejut. Ini bukan cara kita. Kita sentiasa menepati tarikh pembayaran hutang,” kata Ramon yang pernah berkhidmat selama 27 tahun dalam perbendaharaan Malaysia.

Ramon berkata, dia tidak ingat bila negara pernah meminta penangguhan atau rundingan untuk bayaran yang lebih rendah dan tidak melanggar tarikh akhir untuk membayar hutang.
“Kita sentiasa sentiasa berhemah dari segi kewangan dan tepat. Ini pastinya bukan cara kita.

“Amat menyedihkan untuk berada dalam situasi ini. Perbelanjaan dana awam yang berhemah dan tadbir urus yang baik adalah penting, jika tidak masalah seperti ini akan timbul dan berulang,” katanya yang juga bekas pengerusi Transparency International Malaysia dan ketua Pusat Pengajian Dasar Awam Institut Strategi & Kepimpinan Asia.

Pemilik IPIC, Mubadala dalam satu kenyataan hari ini memberi tempoh lima hari kepada 1MDB untuk membayar tunggakan bayaran semalam, dan sekiranya gagal syarikat itu akan “berdepan tindakan lanjut”.

Awal hari ini, Perdana Menteri Najib Razak menyatakan kegagalan 1MDB membuat pembayaran adalah kerana “masalah teknikal” dan bukan kerana 1MDB tiada wang.

Semalam, 1MDB memaklumkan IPIC pembayaran yang sepatutnya dibuat pada 31 Julai akan dibayar bulan ini kerana menunggu dana yang sepatutnya diterima bulan lalu. Pembayaran kepada IPIC itu dibuat menggunakan pelan rasionalisasi 1MDB.

Ramon berkata tidak mungkin kerajaan akan meminta penangguhan atau terlepas lagi untuk buat bayaran, kerana ia menunjukkan kerajaan berdepan masalah kewangan.

“Secara teknikalnya ia boleh diterima, tapi tidak diingini. Bermakna tidak ukur baju di badan sendiri,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pakar ekonomi Yeah Kim Leng berkata, pembayaran hutang sepatutnya diselesaikan secepat mungkin, jika tidak reputasi negara terjejas.

“Sekiranya ia tidak diselesaikan, ia akan meninggalkan kesan dalam sejarah pembayaran hutang kita,” katanya.

Malah katanya, jika bayaran seterusnya masih gagal dibuat 1MDB, penarafan kredit negara akan menurun, kata Yeah.

“Kesannya terhadap negara agak teruk. Tambahan pula 1MDB rapat dengan kerajaan yang menyediakan sokongan kepadanya, maka reputasi kerajaan juga dipertaruhkan,” katanya yang merupakan profesor ekonomi di Universiti Sunway.

Yeah berkata, satu kemungkinan daripada situasi ini adalah kerajaan persekutuan akan membayar hutang 1MDB terlebih dahulu sekiranya syarikat pelaburan itu gagal mendapatkan wang dalam tempoh yang diberikan.

“Ia mungkin membuatkan kerajaan membayarnya terlebih dahulu, dan menjadikan ia hutang negara,” katanya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.