KEDUTAAN BIDAS PIHAK SEMAI KEBENCIAN TERHADAP CHINA

Kedutaan China di Malaysia mahu pihak yang mempunyai motif tersembunyi berhenti mempolitikkan hubungan dua hala Kuala Lumpur-Beijing.

Ini susulan kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa masyarakat Melayu dan Cina tidak mengalu-alukan kedatangan pelabur dari China kerana bimbang periuk nasi mereka akan terancam.

Tanpa menamakan Muhyiddin, jurucakap kedutaan China itu berkata sesetengah orang berulang kali menekankan hubungan erat antara kedua-dua negara dan menggalakkan pelaburan China di Malaysia, tetapi mereka juga menghasut rakyat supaya membenci China selepas kehilangan kuasa.

“Di mana integriti (mereka) apabila (mereka) berubah secara drastik? Bagaimana (mereka) mahu mendapat penghormatan daripada masyarakat antarabangsa dan kepercayaan masyarakat Cina di Malaysia?” soal jurucakap itu dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh akhbar Oriental Daily hari ini.

Meskipun berpegang kepada prinsip tidak campur tangan, jurucakap kedutaan itu berkata, China tidak mahu melihat kerjasama di antara kedua-dua negara terjejas oleh taktik kotor dan pecah-belah oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, kerjasama kedua-dua negara berkenaan tidak akan membahayakan kepentingan rakyat negara ini.

Oleh itu, beliau berkata, isu “pelabur China akan memecahkan periuk nasi rakyat tempatan” adalah semata-mata satu pembohongan dan kenyataan palsu.

– M’kini

.