KEDINGINAN BEIJING DALAM URUS NIAGA WANDA MEMALUKAN PUTRAJAYA

PENTADBIRAN Najib Razak tersipu malu kini- disebabkan keenganan Beijing meluluskan cadangan pelaburan besar-besaran Dalian Wanda dalam Bandar Malaysia dua bulan lalu.

Jika tidak, Perdana Menteri Najib Razak dan pegawainya akan beria-beria bercakap mengenai urus niaga dimeterai dengan rakan kerjasama yang mempunyai masalah aliran tunai itu apabila ia mengumumkan penjualan asetnya kepada sebuah lagi syarikat hartanah gergasi China, Sunac China Holdings.

Sunac merancang untuk membelanjakan AS$9.3 bilion (RM40 bilion) dalam 76 hotel dan pegangan majoriti dalam 13 projek lain daripada Wanda, sebuah konglomerat China yang tumpuan perniagaannya dalam pasaran hartanah mewah.

The Malaysian Insight difahamkan yang Najib dan pihak berkaitan mendesak untuk menandatangani urus niaga bernilai AS$9 bilion dengan Wanda tetapi pegawai kanan kerajaan China tidak menunjukkan kemahuan disebabkan mereka tidak selesa dengan syarikat milik negara yang menerajui pembangunan Bandar Malaysia.
Permintaan kertas cadangan (RFP) untuk pembangunan Bandar Malaysia dikeluarkan pada Jun dan akan berakhir Jumaat ini, dua bulan selepas Putrajaya menamatkan perjanjian yang ditandatangani pada 2015 dengan konsortium Iskandar Waterfront Holdings-China Rail Engineering Corporation atas sebab bayaran yang tidak dibuat walaupun beberapa kali tempoh lanjutan diberikan.

Juga difahamkan yang China Rail Engineering Corp (CREC) akan menjadi sebahagian daripada perjanjian baru untuk membangunkan Bandar Malaysia disebabkan kepakarannya dalam terminal Keretapi Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapore (HSR) yang terletak di Bandar Malaysia.

Projek Bandar Malaysia dimilik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan penjualan itu ialah sebahagian daripada perjanjian untuk mengurangkan hutangnya.

Semalam, agensi berita AFP melaporkan yang Sunac dan Wanda tidak banyak memberikan penjelasan tentang urus niaga itu, tetapi mengatakan yang Wanda ialah antara syarikat yang menjadi sasaran siasatan rasmi kerana pinjaman berisiko tinggi potensi yang berpunca daripada pengambilalihan luar negara yang dilakukan syarikat China itu.

Wanda diterajui salah seorang lelaki terkaya China, Wang Jianlin merupakan salah sebuah syarikat yang paling aktif mengambil alih syarikat di luar negara, membelanjakan berbilion untuk mendapatkan hartanah industri hiburan di Amerika Syarikat.

Tetapi tahun lepas, Beijing mula bertindak mengawal aliran tunai ke luar negara, kerana kebimbangan pengaliran modal, mata wang yang semakin lemah dan kebimbangan tentang pelaburan “tidak rasional”.

Bulan lepas, Wanda mengakui yang badan kawal selia perbankan China mengarahkan siasatan ke atas pinjaman yang berpotensi berisiko dan syarikat China lain yang melakukan banyak pelaburan luar negara.

Kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin tidak menyentuh mengenai 76 hotel itu.

Tetapi syarikat itu berkata yang Sunac akan mempunyai 91% kepentingan dalam 13 “projek pelancongan dan budaya” lain yang dimiliki Wanda, sebuah pemaju hartanah komersial yang mempelbagaikan pelaburan dalam hiburan, taman tema, dan sukan, sebahagian daripada usaha untuk menyerap risiko tinggi industri hartanah China.

Rancangan pembelian itu ialah tindakan agresif terbaru dilakukan Sunac yang berkembang pesat, yang sebelum ini sudah melakukan beberapa urus niaga lain.

Pada Januari ia melabur AS$2.2 bilion (RM9.5 bilion) dalam syarikat teknologi China, LeEco yang diketahui berkembang terlalu cepat dan kini berdepan kekurangan aliran tunai.

– https://www.themalaysianinsight.com

.