KECOH PEMUDA CUBA TERKAM, PELUK TUN M

KEPALA BATAS – Program Jelajah Semarak anjuran Bersatu berakhir tegang apabila seorang pemuda didakwa cuba memeluk Tun Dr Mahahathir selepas program tersebut berakhir di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Seberang Perai(MPSP) semalam.

Menurut sumber, pemuda tersebut pada mulanya menghampiri Tun Mahathir ketika bekas Perdana Menteri itu berjalan ke kereta sambil diiringi kawalan keselamatan.

Pemuda itu kemudiannya cuba memeluk Mahathir, namun tindakannya berjaya dihalang oleh pihak keselamatan.

Susulan insiden itu, berlaku sedikit ketegangan  apabila seorang individu yang mendakwa bapa pemuda terbabit mempertikaikan tindakan ke atas anaknya.

Lelaki berusia lingkungan 50an itu mendakwa pemuda itu sekadar mahu berjumpa dengan Mahathir dan dia kecewa anaknya diperlakukan sedemikian rupa.

Bapa pemuda tersebut yang mendakwa merupakan bekas pimpinan sebuah parti politik itu mengatakan dia sebenarnya tidak mahu menghadiri pogram tersebut namun diajak anaknya yang bersungguh-sungguh mahu bertemu Mahathir.

Lelaki tersebut juga berulang kali mengatakan kecewa dengan tindakan diambil.

Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu Negeri, Yaakob Osman berkata  terdapat sedikit insiden kecil yang berlaku selepas tamatnya Ceramah Jelajah Semarak semalam.

“Kejadian tersebut berlaku ketika Tun Mahathir sedang bergerak ke kereta untuk meninggalkan majlis, seperti kebiasaannya beliau akan bersalaman dengan orang ramai.

“Seorang anak muda yang telah pun bersalaman dengan Tun Mahathir, cuba menerkam dan memeluk Tun Mahathir,” katanya.

Beliau berkata, jika berlaku hal yang seumpama itu, pihak kawalan keselamatan perlu mengambil tindakan bagi memastikan tidak berlaku kejadian tidak diingini.

“Pihak kawalan keselamatan kemudiannya terpaksa bertindak menarik dan membawa keluar si pelaku dari kawasan perimeter program.

“Ini adalah langkah yang perlu diambil bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku ke atas Tun Mahathir,” katanya.

Menurutnya, tiada berlaku sebarang kekasaran  ke atas pemuda terbabit.

Katanya, kawalan keselamatan diketatkan susulan terdapat desas desus bahawa terdapat pihak ungin mengganggu majlis itu.

“Alhamdulillah, majlis berjalan lancar dengan kehadiran ribuan rakyat berbilang kaum dari Kepala Batas dan kawasan yang berdekatan tanpa sebarang gangguan,” katanya.

Terdahulu, program Jelajah Semarak Selamatkan Malaysia, Selamatkan Rakyat itu turut dihadiri kepimpinan Bersatu antaranya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan beberapa pemimpin DAP serta PKR.

Turut serta, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

– Sinar Harian

.