KECILKAN SAIZ PERKHIDMATAN AWAM SEBELUM TERLAMBAT’

Bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim mencadangkan agar kerajaan mengecilkan siz perkhidmatan awam selagi mampu untuk berbuat demikian.

“Saya akan kata, walaupun perbelanjaan kerajaan untuk memberhentikan (kakitangan awam) adalah besar, adalah berbaloi untuk melakukannya sekarang selagi termampu, daripada menunggu sehingga kita terjerumus ke dalam krisis kewangan seperti yang berlaku di Greece,” jelasnya.

Mohd Sheriff merujuk kepada tindakan beberapa negara di benua Eropah yang secara tiba-tiba mengecilkan saiz perkhidmatan awam bagi mengurangkan perbelanjaan operasi setelah ekonomi terjejas teruk.

Pemberhentian kakitangan awam pada masa ini juga akan menjadi satu pendekatan yang positif dengan membolehkan mereka diberikan pampasan adil, kata Sheriff pada forum tadbir urus ekonomi di Sasana Kijang, Bank Negara hari ini.

Tambah beliau, lebihan kakitangan perkhidmatan awam telah menyebabkan ketidak cekapan dalam ekonomi dan kegagalan dalam disiplin kewangan kementerian serta jabatan kerajaan.

Sheriff turut berjenaka mengenai keperluan Malaysia untuk mencontohi Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dalam tindakan pengecilan saiz perkhidmatan awam.

“Oleh kerana semua usaha (kami) sebelum ini untuk mengecilkan (perkhidmatan awam) tidak berjaya, mungkin kita harus mengikuti Donald Trump yang berkata mahu mengurangkan saiz perkhidmatan awam di Washington kerana mewujudkan terlalu banyak birokrasi, melumpuhkan ekonomi dan membebankan bajet persekutuan.

“Ada arahan daripada Trump bahawa bagi setiap jabatan baru atau agensi diwujudkan, dua yang ada harus ditutup.
“Saya fikir jika kita terima pakai arahan ini dengan jelas, ia akan menjadikan kementerian berfikir dua kali sebelum mereka mahu berjumpa Jabatan Perkhidmatan Awam,” ujarnya.

Malaysia kini mempunyai 1.6 juta penjawat awam dan kerajaan perlu memperuntukkan RM76 bilion setahun untuk penggajian dan elaun. Sebanyak RM21.6 bilion lagi dibelanjakan untuk bayaran pencen.

– M’kini

.