KECEDERAAN ANWAR TIDAK SERIUS, TAK PERLU KE HOSPITAL

ANWAR Ibrahim tidak perlu dibawa ke hospital setakat ini kerana hanya mengalami kecederaan ringan selepas terlibat dalam kemalangan kelmarin, kata Timbalan Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Jeyaindran Sinnathurai.

“Saya sudah periksa dia (semalam) dan keadaan dia stabil. Mungkin esok dia akan dibawa ke hospital atau pakar orthopedik datang periksa hari ini (di penjara).

“Memang keadaan dia tidak begitu serius. Esok tertakluk kepada pakar orthopedik, mungkin dia akan dibawa ke hospital untuk jalankan X-tray dan apa-apa (rawatan) yang perlulah.

“Untuk tahap sekarang ini tidak perlu dibawa ke hospital,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight.

Dr Jeyaindran menjelaskan selepas kemalangan 22 September lalu, Anwar mengalami ketegangan otot di bahagian leher dan tangan namun tidak serius.

Dalam pada itu, Dr Jeyaindran berkata kemudahan rawatan sudah lengkap malah pemeriksaan terhadap Ketua Umum PKR itu akan dibuat secara kerap.

“Hari-hari doktor di penjara periksa dia (Anwar). Dan tadi (pagi) pun saya diberitahu dia stabil dan isterinya (Dr Wan Azizah Wan Ismail) akan lawat dia hari ini.

“Lagipun di penjara pun ada katil hospital dan kemudahan yang cukup. Kalau pakar perlu baru pergi (hospital) tapi saya rasa sekarang tidak perlu.

Jumaat lalu, kenderaan yang membawa Anwar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) ke penjara Sungai Buloh terbabit dalam kemalangan di Saujana Utama sekitar jam 12.30 tengahari.

Anwar bagaimanapun dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius namun anaknya Nurul Izzah Anwar menggesa bapanya segera dibawa ke hospital.

“Keluarga mahukan Anwar dibawa ke hospital untuk diberikan pemeriksaan yang diperlukan,” kata Nurul Izzah yang juga ahli Parlimen Lembah Pantai kepada The Malaysian Insight.

“Kami mohon jasa baik pihak berkuasa seperti Jabatan Penjara, Kementerian Dalam Negeri dan Putrajaya untuk mempertimbangkan permohonan ini.”

Dr Wan Azizah berkata beliau secara tidak rasmi meminta seorang pakar ortopedik memeriksa suaminya, namun masih belum mendapat maklum balas sama ada ia dibenarkan atau Anwar akan dibawa ke HKL esok.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 24 September, 2017.
Dr Wan Azizah berkata beliau secara tidak rasmi meminta seorang pakar ortopedik memeriksa suaminya, namun masih belum mendapat maklum balas sama ada ia dibenarkan atau Anwar akan dibawa ke HKL esok. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 24 September, 2017.

Terdahulu hari ini Dr Wan Azizah memberitahu pemberita di Guar Perahu, Permatang Pauh yang beliau secara tidak rasmi meminta seorang pakar ortopedik memeriksa suaminya, namun masih belum mendapat maklum balas sama ada ia dibenarkan atau Anwar akan dibawa ke HKL esok.

“Saya ada melihat dia Jumaat lepas. Kesan kemalangan itu terkena pada bahagian kanan lehernya.

“Lehernya sedikit bengkak selepas tiga hari. Dia juga rasa sakit di bahagian belakang dan bahu.

“Sakit di bahagian belakangnya telah lama menganggunya, dan kesakitan di bahu dari kecederaan lama. Anwar perlukan fisioterapi untuk bahagian belakang dan bahu.

“Saya diberitahu tekanan darahnya akan dipantau dan dia sudah diberi ubat,” katanya selepas menyaksikan pelancaran gelanggang futsal yang baru diubah suai di Guar Perahu.

Bagaimanapun, Anwar katanya tetap bersemangat dan bertahan dengan baik.

“Dia sering bertanya hal-hal yang berlaku di luar, seperti bagaimana GST beri kesan kepada rakyat,” katanya.

Ketua Parlimen pembangkang dan presiden Pakatah Harapan (PH) itu juga berkata Jabatan Penjara menyiasat kemalangan melibatkan konvoi yang membawa Anwar.

“Saya diberitahu ada siasatan ke atas apa yang terjadi kepada konvoi itu. Ianya merbahaya. Apa yang menyebabkan kemalangan itu?

“Kita kena fikirkan keselamatan. Sungai Buloh (penjara) dan hospital agak jauh.

“Biasanya mereka ada pengiring, tapi saya fikir pada hari itu (semasa kemalangan) tak ada,” katanya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.