KEBURUKAN NAJIB DAN PAS SEKUTU UMNO MEMANG PERLU DIULANG-ULANG

A security personnel walks past a logo of United Malays National Organisation (UMNO) ahead of its party's annual General Assembly at the Putra World Trade Centre (PWTC) in Kuala Lumpur on November 24, 2014. The Malaysian Insider/Najjua Zulkefli

Menjelang PRU 14 akan datang, sekurang-kurangnya tiga perkara perlu dilakukan oleh Pakatan Harapan ke arah mencipta kemenangan.

Pertama, mengimbas semula semua keburukan, salah laku dan kecurangan Najib Razak dalam memimpin negara sejak beliau menjadi Perdana Menteri bermula 2009 yang lalu.

Bermula dengan amalan suka bermewah, melakukan pembaziran, meningkatkan hutang, menghapuskan subsidi, membebankan rakyat dengan GST dan sehinggalah kepada tercetusnya skandal 1MDB yang akhirnya mendedahkan lebih banyak keburukan mengenai kepimpinan dan keperibadiannya.

Tanpa Najib, negara kita mungkin tidak bermasalah seperti sekarang dan oleh kerana beliau dalam keadaan sangat bermasalah dalam mendepani pilihanraya akan datang, mengekalkannya lagi hanya memungkinkan semua masalah itu ditutup dengan cara mengalihkan isu saja, bukan melalui penyelesaian yang hakiki.

Akhirnya, rakyat akan terus terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi dan hanya mampu memandang saja segala kepincangan terus dilakukan oleh mereka yang berkuasa dalam negara ini.

Jika kepimpinan Najib tidak terlalu teruk, tentulah mustahil adiknya sendiri, Nazir Razak sampai beberapa kali meluahkan pandangan yang berbeza yang menggambarkan tidak setujunya beliau terhadap cara abangnya memimpin negara ini.

Semua perkara mengenai Najib itu perlu diberitahu secara jelas, tersusun, konsisten dan berulang-ulang agar rakyat faham bahawa hampir semua beban dan masalah dalam negara ini adalah berpunca daripada Najib. Najib, Najib, Najib dan tiada lain selain Najib.

Kedua, memberikan rakyat harapan bahawa pertukaran kerajaan daripada BN kepada Pakatan Harapan adalah pilihan tunggal yang terbaik untuk masa depan mereka.

Pakatan Harapan tiada lain tujuannya selain berhasrat mahu memulihkan negara dari segi imej, ekonomi, perpaduan dan kepercayaan antarabangsa agar Malaysia mampu muncul gemilang sepertimana era sebelum Tun Abdullah Badawai dahulu.

Jika ketika itu kita bangga dan gembira dengan imej serta keadaan negara, tiada sebab kita tidak boleh mempercayai sekali lagi apabila Tun Mahathir Mohamad mengatakan beliau ada cara untuk memulihkan semula ekonomi, selain janji untuk memansuhkan GST secara beransur-ansur.

Tun Mahathir yang kini menjadi Penasihat Pakatan Harapan bersama Dr Wan Azizah Wan Ismail adalah simbolik baru ke arah iltizam melahirkan semula Malaysia baru yang mampu menggembirakan semua rakyat negara ini.

Yang penting, singkirkan Najib dan kalahkan UMNO serta BN dahulu. Hanya dengan kuasa di tangan Pakatan Harapan dan Tun Mahathir mungkin merupakan penasihat juga kepada kerajaan baru nanti, barulah negara ini dapat dipulihkan melalui kepakaran dan pengalamannya yang terbukti selama ini amat gemilang.

Harapan baru kepada rakyat ini juga perlu diberitahu dan diperjelas secara tersusun, konsisten dan berulang-ulang kepada rakyat tanpa jemu.

Ketiga, menyedarkan rakyat bahawa Pas yang berkeras mahu menjadi blok ketiga adalah pembantu dan sekutu baru yang hanya bertujuan memenangkan Najib, UMNO dan BN.

Bertanding hanya 80 kerusi, di kawasan majoriti Melayu di mana situlah juga Bersatu akan meletakkan calonnya dan di ketika rakyat meluap-luap menuju perubahan, keputusan Pas ingin bersendirian tidak lain ialah bertujuan tidak mahu Pakatan Harapan menjadi kerajaan.

Pas sendiri tidak mahu menjadi kerajaan kerana kouta minima untuk menubuhkan kerajaan ialah 112 kerusi, sedangkan mereka bertanding 80 sahaja. Pas tentunya sekadar ingin jadi pengacau agar Pakatan Harapan lebih sukar mengalahkan BN kerana di ketika tidak mahu bersama Pakatan Harapan, mereka juga nampaknya malu untuk bersama dengan BN.

Untuk apa Pas memilih menjadi kuasa penentu atau “king maker” sedangkan mereka sedar kepimpinan Najib terlalu buruk dan isu-isu yang melingkari dirinya bukan saja diperbualkan dalam negara, tetapi juga di seluruh dunia?

Tetapi pilihan Pas tidak boleh dihalang. Itu adalah pilihan mereka. Yang perlu disedarkan ialah mengundi Pas sama seperti mengundi BN. Mengundi BN memang sudah tentu membantu BN, tetapi memberi undi kepada Pas juga boleh merupakan bantuan tidak langsung kepada BN.

Pas bukan saja tidak mampu menubuhkan kerajaan, bahkan memberinya undi mungkin hanya menyulitkan lagi keadaan selepas pilihanraya nanti. Oleh itu, sama seperti menolak BN, Pas juga harus ditolak dalam pilihanraya akan datang nanti.

Hakikat sebenar tentang peranan Pas ini juga perlu diperjelas secara konsisten, berterusan dan berulang-ulang kepada rakyat.

Ada pepatah mengatakan, perkara yang tidak benar atau palsu sekali pun jika disebut secara tersusun dan berulang-ulang, ia akhirnya akan diterima sebagai kebenaran.

Sudah tentu untuk tujuan kebaikan memulihkan negara dan memberi kesejahteraan kepada rakyat, jika ia juga dilakukan secara konsisten dan berulang-ulang, pasti natijah akhirnya segala kepalsuan, penipuan, penyelewengan dan keburukan akan lebih mudah tertolak ke tepi.

Hanya dengan melakukan secara berulang-ulang, selain tersusun dan konsisten, barulah sesuatu perkara itu dapat diasak, dipasak hingga akhirnya ia benar-benar melekat ke minda rakyat.

– ShahbudinHusin

.