KEBOCORAN DATA: PEMIMPIN PKR HERET SKMM KE MAHKAMAH

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berdepan saman sivil yang difailkan oleh Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berhubung kebocoran data lebih 46.2 juta maklumat peribadi pengguna telekomunikasi yang berlaku pada tahun 2014.

Data telekomunikasi yang bocor itu adalah sebahagian daripada data lebih besar yang dicuri. Ia pertama kali didedahkan di Lowyat.net pada 19 Oktober, dalam usaha oleh seorang pengguna yang tidak dikenali untuk menjualnya di forum portal teknologi.

Saman itu juga menyebut nama Nuemera Sdn Bhd, sebuah syarikat swasta yang dilantik oleh SKMM.

Menurut Fahmi, kedua-dua pihak gagal memastikan keselamatan maklumat peribadi pengguna di yang mana dirinya sendiri terjejas oleh pencabulan tersebut.

 

“Dalam era teknologi maklumat sekarang, di mana keselamatan maklumat peribadi menjadi asas pelbagai interaksi dan transaksi harian kita, umum perlu percaya dan yakin bahawa institusi-institusi dan pihak-pihak yang diamanahkan menjaga maklumat peribadi kita bertanggungjawab ke atas amanah itu.“Maka semestinya kejadian kebocoran 46.2 juta maklumat peribadi ini telah menimbulkan pelbagai tanda tanya,” katanya.

Sebagai contoh, beliau mempersoalkan mengapa pihak berkuasa khususnya SKMM serta syarikat Nuemera yang diamanahkan mengendali sistem penyahaktifan telefon bimbit (PCBS) tidak memaklumkan orang ramai terutama pengguna yang terkesan tentang kejadian ini?

“Hingga ke hari ini, kita tidak diberi penjelasan sebenar bagaimana kecurian ini berlaku.

“Tambahan pula kita hanya mengetahui tentang kejadian ini 3 tahun selepas ia dipercayai berlaku, dan hingga kini belum ada sebarang tangkapan atau pendakwaan yang dilakukan berkait isu ini,” katanya.

Fahmi berkata, dalam mana-mana demokrasi matang, apabila skandal sebesar ini berlaku, sudah pasti ada pihak yang mengambil tanggungjawab dan meletakkan jawatan kerana kegagalan yang amat besar ini.

“Malah jika didapati sesebuah syarikat gagal menjamin keselamatan maklumat peribadi, mungkin kontrak syarikat tersebut akan dibatalkan!

“Tetapi nampaknya sehingga kini semuanya masih berjalan seperti biasa, atau business as usual,” katanya.

Membidas “skandal besar yang amat mendukacitakan” itu, Fahmi berkata, apa yang berlaku itu tidak adil kepada semua pengguna syarikat telekomunikasi yang terkesan, di mana maklumat peribadi mereka kini terpampang dan tersebar di internet.Malah, katanya, maklumat itu boleh dimuat turun dan disalah guna pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Pada ketika begitu ramai ahli politik pembangkang dan orang awam diserbu, ditangkap dan didakwa kerana membuat posting di laman media sosial mengkritik pemimpin politik negara, kegagalan pihak berkuasa memberi jawapan atau mengambil tanggungjawab akibat skandal besar ini amat mendukacitakan.

“Oleh sebab-sebab ini, sebagai salah seorang pengguna perkhidmatan telekomunikasi yang terkesan, dan memandangkan isu ini bersifat berkepentingan awam saya telah membuat keputusan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap SKMM dan Nuemera atas kegagalan mereka menjamin keselamatan maklumat peribadi kita,” katanya.

PCBS dilancarkan pada bulan Februari 2014 oleh SKMM untuk menyediakan perkhidmatan yang menghalang telefon yang dicuri daripada membuat panggilan, menghantar teks atau mengakses internet, walaupun kad SIM diubah.

[Baca berita penuh]

– M’kini

.