KEBANYAKAN WARGA JOHOR MAHU SEKOLAH BERBAHASA INGGERIS DIKEMBALIKAN

SEBANYAK lapan daripada 10 rakyat Johor mahukan sekolah berasaskan bahasa Inggeris dikembalikan di negeri itu, menurut kaji selidik.

Kaji selidik dijalankan Yusof Ishak Institute Singapura (ISEAS) itu menunjukkan 82% mahukan sekolah yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium perantara dilaksanakan di seluruh negeri itu untuk semua kaum.

“Sokongan ini kuat dalam semua bahagian demografik, malah dikalangan Melayu dan masyarakat luar bandar yang sebelum ini tidak menyokong Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI),” kata ISEAS.

Kaji selidik yang dikeluarkan 13 November lalu itu mengatakan sokongan tinggi dikalangan masyarakat India iaitu 88%, diikuti Cina (87%) dan Melayu (77%).

Tinjauan itu juga menyatakan pilihan rakyat Johor itu kerana terpengaruh dengan graduan Singapura yang fasih dalam bahasa Inggeris, menjadikan mereka lebih mudah mendapat kerja di peringkat antarabangsa.

Kajian itu turut menyangkal dakwaan bahawa orang Cina dan India tidak menyokong sistem pendidikan satu aliran di Johor.

“Sokongan kuat responden Cina dan India terhadap konsep ‘Satu Sekolah Untuk Semua’ bercanggah dengan apa yang dipercayai sebelum ini kononnya konsep ini akan membuatkan sekolah Tamil dan Cina ditutup,” kata ISEAS.

Sokongan masyarakat Cina dan India untuk sistem persekolahan satu aliran ini mungkin kerana Johor akan memperkenalkan sistem pendidikan bermodelkan sistem sekolah Singapura yang mana secara aktif diwar-warkan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, tambah laporan itu lagi.

Kaji selidik itu dijalankan sekitar Mei dan Jun, yang melingkupi 2,011 responden yang ditemuramah melalui telefon.

Responden terdiri daripada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang tinggal di Johor.

Mengikut pecahan kaum, responden meliputi seramai 1,104 (55%) Melayu, 758 (38%) Cina dan 149 (7%) India.

Daripada itu, seramai 340 responden berumur antara 21 hingga 30 tahun; 455 responden antara umur 31 hingga 40 tahun; 546 responden berumur antara 41 hingga 50 tahun; 409 responden antara umur 51 hingga 60 tahun; dan seramai 261 responden berumur 61 tahun.

– https://www.themalaysianinsight.com

.