KEBAKARAN TAHFIZ MUNGKIN PERBUATAN KHIANAT, KATA BOMBA

KEBAKARAN yang meragut 23 nyawa di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Keramat awal pagi ini berkemungkinan disebabkan oleh perbuatan khianat, kata Jabatan Bomba dan Penyelamat sekaligus menolak teori awal ia berpunca daripada litar pintas.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khirudin Drahman berkata berdasarkan keamatan api dalam kejadian itu, ia tidak mungkin berpunca daripada litar pintas.

Khirudin berkata jabatan itu kini sedang menyiasat sama ada terdapat kemungkinan kebakaran itu berpunca daripada perbuatan khianat.

“Ia bukan berpunca daripada litar pintas Sekiranya memang daripada litar pintas, ia memerlukan 30 minit untuk menjadi marak,” katanya kepada The Malaysian Insight dan menambah, api marak terlalu cepat.

Khirudin berkata, siasatan awal turut mendapati berdasarkan keterangan pelajar yang terselamat mencadangkan kebakaran bermula di luar asrama sebelum merebak.

Jabatan bomba turut menyiasat mengapa dua tong gas memasak ditemui di hadapan pintu masuk ke asrama itu.

Khirudin bagaimanapun enggan mengulas sekiranya tong gas tersebut menjadi punca kebakaran dan berkata ia masih dalam siasatan.

“Maklumat daripada pelajar hanya menyebut pelajar lain tidak dapat keluar melalui satu-satunya pintu itu kerana api terlalu marak.

“Jadi mereka memilih tingkap. Mereka perlu pecahkan besi jeriji. Mereka berkata yang mereka terdengar bunyi berdesir daripada api marak di sebalik pintu,” kata Khirudin.

Tambahnya, pasukan forensik sudah mengambil tong gas terbabit untuk siasatan.

“Kami telah mengumpul bukti dan penyiasat akan meneruskan siasatan di makmal. Kami juga turut mengambil alih bangunan itu untuk siasatan lanjut,” katanya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.