KATA DUA TUNKU ABDUL AZIZ KEPADA FATEH ISKANDAR

KUALA LUMPUR  – Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah Malaysia, Tunku Abdul Aziz Ibrahim memberi kata dua kepada Datuk Seri Fateh Iskandar Mo­hamed Mansor untuk mengambil tindakan undang-undang jika permohonan maaf tidak diterima daripada Pengerusi Media Prima Bhd. itu dalam masa terdekat.
Beliau berkata, tuduhan yang dibuat terhadap beliau adalah terlalu berat dan menga­rut ko­nonnya beliau adalah penyebab penarafan TV3 jatuh mendadak berikutan kemunculannya mela­lui Buletin Utama selama 12 ma­lam berturut-turut.

“Saya telah menghantar notis permohonan maaf pada 13 Disember lalu, sekiranya tiada apa-apa maklum balas diterima daripada Fateh Iskandar dalam tempoh tujuh hari saya akan pertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tiga hari lalu, Tunku Abdul Aziz mendakwa Fateh Iskandar atau lebih dikenali sebagai FD Iskandar telah menyatakan perkara tidak benar dan secara sengaja mengelirukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas tuduhan itu dan disifatkan sebagai tidak berasas kerana ia tidak disahkan oleh agensi penarafan televisyen yang diiktiraf dan profesional.

Sedangkan kata beliau, ke­munculannya di Buletin Utama TV3 pada 19 Oktober serta 11 dan 14 November lalu, semuanya hanya tiga kali dan bukan 12 kali seperti yang dinyatakan Fateh Iskandar kepada Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Tunku Abdul Aziz berkata, sebarang komen yang disiarkan di platform berita itu bukan kerana beliau menerima apa-apa bayaran daripada pihak tertentu atau be­kerja dengan TV3.

Beliau menjelaskan, tuduhan berkenaan boleh menjejaskan nama beliau dan dipergunakan demi memenuhi kepentingan dan agenda peribadi.

“Agenda beliau untuk menyingkirkan Pengarang Urusan Kumpulan Berita dan Ehwal Semasa Media Prima, Datuk Seri Mohd. Ashraf Abdullah itu adalah urusan beliau, jika mengaitkan nama saya, maka ia turut menjadi kepentingan saya,” katanya.

– UTUSAN

.