KASUT DIBALING KE ARAH DR M, KERUSI TERBANG DALAM NOTHING TO HIDE 2

Program Nothing to Hide 2.0 di Shah Alam hari ini bertukar ganas apabila beberapa individu menimbulkan kekecohan di dewan tempat berlangsung acara itu.

Kekecohan bermula ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab soalan peserta mengenai peristiwa Memali, apabila tiba-tiba kasut dan selipar dibaling ke arahnya.

Bagaimanapun beberapa petugas keselamatan berjaya melindungi dan membawa keluar bekas perdana menteri itu dari Dewan Raja Muda Musa yang menjadi tempat acara itu berlangsung.

Keadaan kemudian menjadi tidak terkawal apabila objek seperti kerusi, selipar dan botol air dibaling di dalam dewan.

Dalam keadaan huru hara itu, beberapa individu turut membakar dan membaling suar di lokasi kejadian.

Sekurang-kurangnya dua suar dinyalakan oleh individu yang dipercayai melakukan provokasi, menyebabkan kepulan asap memenuhi dewan.

Keadaan menjadi semakin tegang apabila berlaku pertempuran antara penyokong BERSATU dan individu berkenaan sehingga melarat keluar dewan.

Turut kelihatan sekumpulan pemuda keluar dari dewan itu dan menanggalkan baju-T ARMADA yang dipakai mereka, sebelum meninggalkannya di lantai.

Penyokong BERSATU kemudian menahan tiga individu yang disyaki sebagai pengacau.

Suspek berkenaan, yang cedera akibat dipukul, kemudian diserahkan kepada pihak polis.

Sementara itu dalam sidang media, polis mengesahkan telah menahan tiga suspek yang disyaki pelajar kolej swasta dan seorang penganggur bagi membantu siasatan.

“Ekoran dari kekecohan tiga orang lelaki Melayu telah ditahan oleh orang awam. Dua orang pakai baju-T warna merah lambang ARMADA yang berumur 17 hingga 19 tahun.

“Kita akan panggil penganjur untuk teruskan siasatan,” kata Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat.

– M’kini

.