KASSIM TIDAK SEMPAT SIAPKAN TERJEMAHAN AL-QURAN

KULIM – Anak tokoh akademik veteran, Kassim Ahmad yang meninggal dunia hari ini terkilan kerana arwah ayahnya itu tidak sempat menyiapkan terjemahan al-Quran ke dalam bahasa Melayu.

Ahmad Shauqi, 50, anak kedua aktivis itu, berkata Allahyarham hanya sempat menyiapkan satu pertiga terjemahan sebelum meninggal dunia pagi tadi.

“Arwah berhasrat melakukannya kerana berasakan terjemahan yang sedia ada terlalu berbunga-bunga bahasanya.

“Arwah mahu terjemahkan kepada sesuatu yang lebih mudah difahami oleh orang ramai,” katanya ketika ditemui pemberita di rumah ayahnya itu di sini.

Ahmad Shauqi juga mendedahkan yang ayahnya giat menulis sehinggalah ke hari-hari terakhir arwah dan antara karya terakhirnya yang sedang diusahakan ialah biografinya.

Biografi itu dijangka diterbitkan tidak lama lagi, katanya.

 “Ayah, sepanjang hayatnya berjuang untuk rakyat dan sanggup bersusah kerana keluarganya dan segalanya diluahkan di dalam biografi tersebut.

“Bagi kami sebagai anak-anak, tiada pesanan akhir yang ditinggalkan kecuali mahu kami semua kembali mengikut al-Quran,” katanya.

Kassim, 84, meninggal dunia di Hospital Kulim di sisi anggota keluarga termasuk isteri Sharifah Fauziah Syed Yusuff dan dua daripada tiga anaknya  pada 10 pagi  tadi kerana mengalami masalah pernafasan.

Belia menghembuskan nafas terakhir selepas 36 jam koma.

Allahyarham terkenal dengan karya ‘Hadis: Satu Penilaian Semula”, sebuah kajian kritikal ke atas kewibawaan hadis sebagai sumber Islam dan buku itu diharamkan kerajaan pada 1986.

Karya itu juga menyebabkan beliau  dianggap sebagai antihadis.

– Bernama

.