Kasino di P. Pinang: Apakah ini pendirian Umno?

GEORGETOWN – Umno perlu menyatakan pendirian mengenai dasar diperjuangkan parti baharu, Penang Front Party (PFP) yang mahu menjadikan Pulau Pinang seperti Macau.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, PFP yang disokong oleh Ahli Parlimen Umno, Datuk Zahidi Zainul Abidin itu mahu memohon lesen daripada kerajaan persekutuan mewujudkan kasino di negeri ini.

“Adakah ini dasar baharu Umno yang menyokong mereka (PFP) untuk membuka kasino di negeri ini?

“Kalau nak tumbangkan kerajaan negeri itu terpulang kepada mereka namun tapi adakah Umno bersetuju untuk PFP membuka kasino di negeri ini? Zahidi dan Umno perlu jawab persoalan ini,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan mengenai kewujudan sebuah parti baharu yang berteraskan kaum Cina di negeri ini.

Pengerusi Penaja PFP, Lee Poh Kong berkata, pihaknya akan berjuang untuk membawa suara rakyat bagi menentang DAP yang dilihat gagal menerajui kerajaan negeri dengan baik.

Selain itu Poh Kong berkata, pihaknya juga akan memohon lesen daripada kerajaan persekutuan untuk mewujudkan kasino di negeri ini dalam meningkatkan lagi industri pelancongan di mata dunia.

“Sekiranya kita menang, kita akan mohon kepada kerajaan persekutan untuk  menimbangkan cadangan kita ini bagi menggalakkan lagi industri pelancongan dan menjadikan Pulau Pinang sama seperti Macau,”katanya.

Sementara itu, Guan Eng berkata, kerajaan negeri tidak sama sekali bersetuju untuk membuka kasino di negeri ini.

– Sinar Harian

.